FBM KLCI akhiri kerugian lapan hari dan ditutup dalam zon positif | DagangNews Skip to main content

FBM KLCI akhiri kerugian lapan hari dan ditutup dalam zon positif

Pada jam 5 petang, indeks utama itu meningkat 16.45 mata kepada 1,481.28 daripada 1,464.83 ketika ditutup pada Isnin.
Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR 14 Jun - Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri kerugian lapan harinya untuk ditutup dalam zon positif hari ini, meningkat 1.12% selepas dirangsang oleh kemunculan kegiatan memburu saham berharga murah berikutan jualan besar-besaran baru-baru ini.

 

Pada jam 5 petang, indeks utama itu meningkat 16.45 mata kepada 1,481.28 daripada 1,464.83 ketika ditutup pada Isnin.

 

FBM KLCI memulakan urus niaga pagi ini pada paras 1,457.86, dibuka 6.97 mata lebih rendah tetapi kemudiannya bertukar kepada lebih tinggi pada pertengahan pagi dan bergerak antara paras rendah setakat tahun ini iaitu 1,451.18  dan 1,481.72 di sepanjang hari.

 

Di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan amat tipis iaitu 483 berbalas 482, manakala 422 kaunter tidak berubah, 876 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

 

Jumlah dagangan susut menjadi 2.72 bilion unit bernilai RM2.11 bilion daripada 3.27 bilion unit bernilai RM2.26 bilion pada Isnin.

 

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng bagaimanapun berkata pelabur masih mengambil sikap berhati-hati dan percaya hala tuju dalam tempoh terdekat pasaran tempatan masih sangat bergantung kepada pergerakan serantau.

 

"Pasaran serantau utama kebanyakannya berada dalam zon negatif berikutan petunjuk lemah daripada Wall Street semalaman selepas hasil bon mencecah paras tertinggi dalam dua dekad berikutan kebimbangan yang kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat secara agresif akan mendorong ekonomi terbesar dunia itu ke lembah kemelesetan.

 

"Oleh itu, kami mengandaikan FBM KLCI akan berlegar antara julat 1,460-1,490 untuk baki minggu ini dengan sokongan serta-merta pada 1,450 manakala rintangan pada 1,490," katanya kepada Bernama.

 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa, Maybank tidak berubah pada RM8.68, Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.51, Petronas Chemicals naik 10 sen menjadi RM9.66, dan IHH Healthcare meningkat lapan sen kepada RM6.30.

 

Bagi saham aktif, Unitrade susut dua sen kepada 30 sen, Dagang NeXchange dan Yong Tai masing-masing naik setengah sen kepada 91 sen dan sembilan sen manakala Top Glove dan Yew Lee tidak berubah, masing-masing pada RM1.03 dan 29.5 sen.

 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 94.37 mata kepada 10,571.57, Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi sebanyak 122.56 mata menjadi 10,803.21, FBM 70 menokok 41.92 mata kepada 12,721.54, Indek FBMT 100 mengembang 95.50 mata kepada 10,287.89 dan FBM ACE menambah 22.92 mata kepada 4,939.58.

 

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 73.99 mata kepada 16,253.90, Indeks Perladangan naik 167.40 mata menjadi 7,550.31  dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 1.62 mata kepada 190.44.

 

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.57 bilion saham bernilai RM1.82 bilion daripada 1.83 bilion saham bernilai RM2.02 bilion pada Isnin.

 

Jumlah dagangan waran pula mengecil menjadi 446.63 juta unit bernilai RM82.25 juta berbanding 673.16 juta unit bernilai RM96.12 juta sebelumnya.

 

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menguasai 227.09 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (410.06 juta), pembinaan (50.68 juta), teknologi (207.03 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (67.76 juta), hartanah (141.68 juta), perladangan (55.69 juta), REIT (8.45 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (186.48 juta), penjagaan kesihatan (131.19 juta), telekomunikasi dan media (32.06 juta), pengangkutan dan logistik (30.86 juta ) dan utiliti (20.24 juta). - DagangNews.com