Fat Leonard akan dibawa pulang ke AS di bawah perjanjian pertukaran tahanan dengan Venezuela, kata Rumah Putih | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fat Leonard akan dibawa pulang ke AS di bawah perjanjian pertukaran tahanan dengan Venezuela, kata Rumah Putih

KUALA LUMPUR 21 Dis - Ahli perniagaan Malaysia Leonard Glenn Francis atau "Fat Leonard" — yang merupakan watak utama dalam skandal rasuah AS$35 juta (RM163 juta) yang terbesar dalam sejarah tentera AS, bakal dikembalikan ke AS oleh Venezuela di bawah perjanjian pertukaran tahanan.

 

Dalam satu kenyataan di laman web Rumah Putih pada Rabu, Presiden Joe Biden berkata 10 rakyat Amerika yang  ditahan di Venezuela telah dibebaskan, termasuk kesemua enam rakyat Amerika yang ditahan secara salah.

 

Biden berkata Francis, yang melarikan diri dari AS sebelum dijatuhkan hukuman kerana peranan utamanya dalam kes rasuah dan sogokan, akan menghadapi keadilan atas jenayah yang dilakukannya terhadap kerajaan AS.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Fat Leonard – gangster Pulau Pinang jadi penjual senjata api bertaraf dunia, merasuah Tentera Laut AS | DagangNews

 

Kisah mengenai skandal rasuah awam yang paling teruk dalam sejarah Tentera Laut AS terbongkar pada 2022 selepas kontraktor tentera memotong pengesan GPS buku lali Francis dan melarikan diri daripada tahanan rumah di rumah agamnya di San Diego.

 

Dia ditahan kemudian di Venezuela, di mana dia menghadapi prosiding ekstradisi. Dia telah bekerjasama dengan penyiasat AS sebelum meninggalkan negara itu.

 

Pendakwa raya berkata bahawa sebagai pertukaran untuk kontrak, Francis memberi pegawai Tentera Laut wang tunai, makanan gourmet, cerut mahal, arak cognac yang sangat mahal dan pesta seks di hotel-hotel.

 

Pada 2015, Leonard mengaku bersalah merasuah pegawai Tentera Laut melalui syarikatnya yang berpangkalan di Singapura, Glenn Defence Marine Asia, yang memberi perkhidmatan kepada kapal di Armada Pasifik Tentera Laut.

 

Pada September tahun ini, empat bekas pegawai Tentera Laut AS yang didakwa dalam skandal rasuah besar-besaran yang dikaitkan dengan Leonard telah dibebaskan daripada tuduhan jenayah oleh hakim yang memetik salah laku pendakwa. - DagangNews.com