Falsafah Hidup & Strategi Tokoh Berjaya - Steve Jobs | DagangNews Skip to main content

Falsafah Hidup & Strategi Tokoh Berjaya - Steve Jobs

Oleh Dr JOHARI SHAARI

 

SAYA ingin berkongsi serba sedikit mengenai falsafah hidup dan strategi beberapa tokoh yang berjaya dalam bidang keusahawanan dan korporat. 

 

Secara kebetulan saya sudah bersara sebagai pensyarah sepenuh masa dari Universiti  Kolej Teknologi Antarabangsa Twintech pada Oktober 2020 yang lepas, kemudian saya mengajar separuh masa di universiti tersebut sehingga Disember 2020 untuk  program MBA.

 

Disebabkan oleh PKP, saya mula mengajar kelas secara maya (online). Sepanjang 36 tahun saya terlibat dalam bidang pendidikan keusahawanan, saya telah berpeluang berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar di UiTM, UPM, UUM, MIM, Kolej Yayasan Melaka, MCS College dan Alpha College.

 

Apabila telah bersara dan tidak lagi aktif secara sepenuh masa, saya mula mencari ruang dan peluang agar saya dapat terus berbakti berkongsi ilmu dengan masyarakat. Ketika saya duduk bersendirian dalam study room, saya terlihat di rak buku sekeliling saya beratus atau mungkin beribu naskah buku-buku yang ada dalam koleksi saya sejak tahun 1970an lagi.  

 

Walaupun pada asalnya buku-buku tersebut dibeli semata-mata untuk tujuan akademik yang digunakan bagi tujuan pembelajaran dan pengajian peringkat diploma, sarjana muda, sarjana (MBA) sehingga ke PhD, saya juga ada mengumpul pelbagai buku bukan akademik seperti yang berkaitan dengan politik, agama, motivasi , “how  to?”, kebudayaan, sejarah, sastera, novel, dan juga autobiografi beberapa tokoh terhebat di dunia ini.

 

Saya mula meninjau dan membelek buku-buku tersebut untuk mencari idea apa boleh saya sumbangkan pada masa lapang ini.  Ada juga terfikir untuk membaca semula buku-buku lama tersebut.  Apabila saya menyemak halaman demi halaman buku-buku tersebut rupannya masih ada buku yang belum saya baca lagi atau belum habis dibaca! 

 

Dalam pemerhatian saya terdapat banyak judul buku yang berupa autobiografi dan biografi tokoh-tokoh usahawan dan korporat yang berjaya dalam bidang masing-masing.

 

Maka timbul keinginan untuk membaca semula buku-buku autobiografi/biografi tersebut.  Kemudian saya terfikir untuk berkongsi hasil daripada pembacaan buku-buku ini dengan masyarakat umum. 

 

Mungkin ini juga boleh memberi manfaat kepada mereka terutama yang belum mengenali tokoh-tokoh yang ingin saya kongsikan. Walaupun buku-buku ini bukan hasil tulisan saya, tetapi saya yakin ia juga merupakan ilmu yang boleh dimanfaatkan.

 

Itulah tujuan dan niat saya yang ikhlas kerana Allah swt.  Bagaimana saya hendak berkongsi autobiograpi ini dengan orang lain? Dan apakah cara yang paling berkesan untuk di sampaikan? Terfikir sejenak dalam minda saya.

 

Semasa saya termenung dan memikirkan cara yang terbaik untuk saya kongsi pembacaan buku-buku ini, terlintas dalam fikiran saya untuk menyampaikannya melalui media sosial. 

 

Apabila saya menoleh kebelakang saya sedar saya sudah ada sedikit pengalaman memberi syarahan “online” di Twintech dan juga pengalaman membuat video “1-minit 1-video 1-hari” untuk program “My Smart Plan” (MSP) yang saya sertai. Maka bermulalah perkongsian ilmu saya melalui siaran video live di Facebook pada 15 Februari 2021 untuk tempoh 15-20 minit setiap sesi dan ini masih dilakukan sehingga kini. 

 

Buku-buku autobiografi/biografi yang telah saya kongsi melalui Facebook termasuklah kaedah dan sistem perniagaan cara Nabi Muhammad SAW, Steve Jobs, Bill Gates, Syed Mokhtar, Richard Branson, Obama, Chef Li dan beberapa tokoh lain.

 

Untuk perkongsian yang pertama ini di dalam DagangNews.com, saya ingin memulakan dengan seorang tokoh bernama Steve Paul Jobs, iaitu pengasas Syarikat Apple Computer Inc.

 

stevejobs1

 

Walaupun beliau sudah meninggal dunia kira-kira sepuluh tahun yang lalu, legasi beliau masih lagi terus bersinar sehingga kini.  Apple Computer Inc.merupakan syarikat pertama di Amerika Syarikat yang telah meraih jualan sebanyak trillion dollars.   Apple Computer Inc. telah dinobatkan “the most valuable company” di Amerika Syarikat untuk beberapa tahun semasa hayat Steve Jobs dan juga selepas beliau meninggal dunia.

 

Saya ingin mulakan dengan latar belakang beliau terlebih dahulu, sebelum saya berkongsi falsafah hidup dan strategi beliau dalam bisnes dan kehidupan hariannya.

 

Jobsu dilahirkan di San Francisco pada 24 Februari 1955. Schieble, keluarga ibu kandungnya merupakan imigran berketurunan Jerman yang berpindah ke Wisconsin, Amerika Syarikat.  Mereka mempunyai ladang ternakan dan juga beberapa bisnes termasuk hartanah di Green Bay, Wisconsin. 

 

Semasa Joanne Schieble dalam pengajian peringkat sarjana di Universiti Wisconsin, Madison beliau bertemu dengan seorang pelajar Ph.D,  Abdulfatah “John” Jandali.  Abdulfatah, seorang Muslim dari Syria, berkhidmat sebagai pembantu pengajar semasa dalam pengajian Ph.D (Sains Politik) di Universiti tersebut.  

 

Bapa Abdulfatah merupakan seorang usahawan yang berjaya di Syria yang menceburi bidang minyak dan gas, hartanah dan perladangan, yang mana satu ketika dahulu telah mengawal sebahagian besar ladang gandum di Syria. Ibunya seorang yang konservatif dan isteri yang taat serta mempunyai identiti muslim tradisional.

 

Joanne dan Abdulfatah saling mencintai antara satu sama lain tetapi ayah Joanne tidak mengizinkannya berkahwin dengan Abdulfatah selagi dia masih hidup. Pada tahun 1954, Joanne telah mengikut Abdulfatah berkunjung ke Syria selama dua bulan untuk menziarahi dan berkenalan dengan keluarga Abdulfatah.

 

Semasa pulang ke Wisconsin, Joanne menyedari dirinya telah mengandung. Untuk menjaga nama baik keluarganya, Joanne berpindah ke San Francisco. Joanne bercadang untuk menggugurkan kandungannya tetapi undang-undang di negeri tersebut pada masa itu tidak membenarkan pengguguran kandungan.

 

Abdulfatah terus tinggal di Wisconsin untuk menghabiskan pengajian Ph.Dnya sehinggalah beliau ditawarkan jawatan pensyarah dan profesor.

 

stevejobs2
Ibu bapa kandung Steve Jobs, Abdulfatah Jandali dan Joanne Schieble

 

Sebaik sahaja Joanne melahirkan anaknya dan dengan pertolongan doktor yang merawatnya, beliau telah menyerahkan anak tersebut untuk dipelihara oleh pasangan suami isteri Paul Jobs dan Clara Jobs yang tidak mempunyai anak.

 

Joanna telah memberi syarat kepada pasangan tersebut untuk mewujudkan tabung pendidikan bagi membiayai pendidikan anaknya hingga ke tahap universiti.  Pasangan tersebut menamakan bayi yang baru lahir itu sebagai Steven Paul Jobs (Steve Jobs).

 

Paul Jobs yang baru bersara sebagai pengawal pantai merupakan seorang jurumesin yang memiliki pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknikal.  Paul Jobs mendidik anak angkatnya dengan penuh kasih sayang. Walaupun Steve hanya seorang anak angkat, Paul dan Clara menjaganya seperti menatang minyak yang penuh.

 

Sebagai seorang yang mahir dalam aspek teknikal, Paul Jobs berminat mengubah suai dan membaik pulih kereta lama untuk dijual.  Steve memperolehi pengalaman dan mula berminat dalam bidang teknikal hasil dari tunjuk ajar bapa angkatnya.

 

Steve juga diajar melakukan pelbagai kerja teknikal yang lain dan ini telah mempengaruhinya untuk mendalami bidang matematik dan fizik sehinggalah beliau melanjutkan pengajian ke sekolah menengah.

 

Steve Jobs suka melihat bapa angkatnya membuat kerja di garaj kereta menggunakan lakaran gambar rajah, reka-bentuk, lukisan dan sebagainya. Dari situlah dia mula berminat untuk mendalami bidang elektronik dan kejuruteraan. 

 

Paul dan Clara menyedari yang Steve seorang budak yang pintar dan bijak. Mereka berdua akan malakukan apa sahaja untuk memberi yang terbaik kepada anak angkatnya itu. Mereka sanggup berbelanja demi memastikan Steve memiliki alat-alat elektronik yang diperlukannya di samping memastikan beliau mengamalkan pemakanan yang baik dan berzat. Dengan lain perkataan, kedua orang tuanya akan sentiasa memberi sokongan dan memenuhi apa sahaja permintaan Steve.

 

Steve Jobs memasuki Sekolah Menengah Homestead dan berjaya menamatkan pengajiannya pada musim panas 1972. Semasa di Homestead beliau berkenalan dengan Steve Wozniak yang juga seorang yang genius, pintar dan juga mempunyai minat dalam bidang elektronik dan komputer. 

 

stevejobs1
Steve Jobs (berdiri) bersama Steve Wozniak, pengasas bersama Apple.

 

Mereka berdua juga berminat dalam bidang muzik dan sering mereka cipta pelbagai peralatan eletronik sehingga terciptanya sejarah penubuhan Apple Computer Inc. pada tahun 1976.

 

Insya-Allah saya akan menyentuh falsafah hidup, kegagalan dan kejayaan Steve Jobs dalam penulisan akan datang. - DagangNews.com

 

 

Dr. Hj. Johari Shaari merupakan mantan pensyarah utama di Twintech International University College of Technology
Dr. Johari Shaari merupakan mantan pensyarah utama di
Twintech International University College of Technology