Fajarbaru optimis prospek hartanah di Malaysia, Australia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fajarbaru optimis prospek hartanah di Malaysia, Australia

Fajarbaru

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 April - Syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah, Fajarbaru Builder Group Bhd. (Fajarbaru) optimis dengan prospek segmen hartanahnya seiring jangkaan pemulihan ekonomi yang disokong oleh Program Imunisasi Nasional COVID-19.

 

Sehubungan itu, syarikat berkenaan turut bercadang untuk melancarkan projek harta tanah baharu menjelang separuh kedua 2021 setelah keadaan pasaran bertambah baik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Datuk Seri Eric Kuan Khian Leng berkata, bahagian hartanah kekal menjadi penyumbang pendapatan yang signifikan bagi kumpulannya selain perniagaan teras dalam pembinaan. 

 

Eric Kuan Khian Leng
Eric Kuan Khian Leng.

 

"Kami mempunyai kepentingan pembangunan hartanah bukan hanya di Malaysia tetapi juga di Australia.

 

"Meskipun pandemik COVID-19 telah menjejaskan segmen hartanah, namun sudah ada tanda-tanda positif bahawa keadaan pasaran akan bertambah baik dan kita dapat memanfaatkannya selagi kita boleh menyesuaikan diri dan berinovasi dengan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan.

 

Fajarbaru baru-baru ini berjaya menyiapkan pembangunan hartanah sulungnya di Malaysia iaitu Rica Residence @ Sentul seperti yang dijadualkan.

 

Rica Residence @ Sentul
Rica Residence.

 

Pembangunan berkenaan mula diserahkan pada pertengahan Mac tahun ini. 

 

Penyerahan itu pada asalnya dicadang dibuat dalam tempoh tiga bulan sebelumnya, namun terpaksa ditangguhkan kerana sekatan PKP.

 

Hingga kini, kadar langganan terkini di Rica Residence @ Sentul adalah sebanyak 82% (termasuk tempahan). 

 

Mengulas berkaitan dengan unit keseimbangan pula, beliau memberitahu, pihaknya sedang menyerahkan unit pemaju yang masih ada dan yakin akan ada peningkatan yang kukuh selepas PKP – projek MRT2 yang hampir siap iaitu pada tahun 2022 juga adalah dorongan positif bagi kami untuk melakukannya dengan lancar. 

 

Rica Residence
Rica Residence. 

 

"Kami menyasarkan untuk menjual unit selebihnya pada akhir tahun 2021.

 

"Sebaik sahaja keadaan pasaran bertambah baik, kami juga akan meneliti kemungkinan melancarkan projek Rica Residence @ Kinrara pada tahun 2021, yang mana akan berlandaskan konsep pembangunan kondominium," katanya lagi.

 

Bagi pembangunan di Melbourn, Australia, kumpulan tersebut melaporkan bahawa pembangunan Paragon Queen Street dengan GDV sebanyak AU$182.84 juta telah selesai baru-baru ini.

 

Kadar langganan terbarunya adalah 93%, dan pemaju cukup yakin dengan penjualan baki unit yang tinggal dalam projek yang telah memenangi anugerah di Asia Pacific Property Awards 2018-19 dan iProperty Development Excellence Award 2019. - DagangNews.com