Exabytes lantik Eric Foo sebagai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Perusahaan Perniagaan baharu | DagangNews Skip to main content

Exabytes lantik Eric Foo sebagai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Perusahaan Perniagaan baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac - Exabytes melantik Eric Foo sebagai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Perusahaan Perniagaan untuk menerajui pasukan perusahaan perniagaannya serta mengetuai sebarang inisiatif penyatuan dan pengambilalihan (M&A).

 

Eric yang merupakan bekas Naib Presiden Kanan Hitachi Sunway Information Systems akan memacu "transformasi digital berteraskan awan" bagi bahagian teknologi perusahaan perniagaan untuk Malaysia dan rantau Asia Tenggara, termasuk Singapura dan Indonesia. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Exabytes, Chan Kee Siak berkata, tanggungjawab itu selaras dengan matlamat Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia bagi menggalakkan perniagaan-perniagaan untuk mengoptimumkan sumber dan mengembangkan operasi dan pasaran mereka ke luar Malaysia. 

 

"Dengan pengalaman Eric yang meluas dalam transformasi perniagaan, kami akan melaksanakan langkah pengukuhan jenama dalam segmen perusahaan perniagaan dengan tawaran perkhidmatan dan produk yang lebih meluas serta pembezaan produk lebih nyata," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Chan berkata, kumpulan mengalu-alukan kehadiran Eric dan teruja untuk melihat transformasi ketara dalam perniagaan dan teknologi yang kami tawarkan kepada pelanggan-pelanggan Exabytes. 

 

"Kami bangga menjadi sebuah syarikat Malaysia, dan tahun ini ialah ulang tahun ke-21 kami. Justeru, kami telah memetakan strategi pertumbuhan yang menarik untuk fasa yang seterusnya, sejajar dengan peranan penting kami sebagai peneraju teknologi digital perniagaan yang menyeluruh di rantau ini. 

 

 

exabytes
Chan Kee Siak

 

 

Sementara itu, Eric pula berkata, beliau percaya perkhidmatan keselamatan dan pengurusan awan akan terus berkembang apabila lebih banyak aplikasi dan teknologi ditawarkan kepada pengguna secara dalam talian.

 

"Fokus dan perluasan khidmat kami kepada perkhidmatan berasaskan awan akan memperkukuhkan kedudukan serantau Exabytes selaku penyedia perkhidmatan sehenti untuk perniagaan-perniagaan digital. 

 

"Misi kami adalah untuk melaksanakan transformasi digital berteraskan awan yang berupaya diterjemahkan kepada nilai perniagaan untuk pelanggan-pelanggan kami,” katanya.

 

 

exabytes
Eric Foo

 

 

Eric mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bidang pengembangan perniagaan dan produk, operasi, serta jualan dan perkhidmatan. 

 

Sebelum itu, beliau merupakan Pengurus Besar Produk, Servis & Pengembangan Perniagaan Mesiniaga selama 5 tahun dan bertanggungjawab membangunkan satu portfolio produk baharu yang menyumbang kepada pertumbuhan dan keuntungan perniagaan Mesiniaga. 

 

Beliau juga berjaya membina dan mengembangkan perniagaan syarikat sewaktu bertugas di ASTRO dan IBM Malaysia. - DagangNews.com