ESI perkenal Dana E-sukan KBS bernilai RM250,000 kepada penggiat industri e-sukan Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ESI perkenal Dana E-sukan KBS bernilai RM250,000 kepada penggiat industri e-sukan Malaysia

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov - Sebagai salah satu usaha memangkin pembangunan ekosistem e-sukan tempatan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) memperkenalkan Dana E- sukan KBS berjumlah RM250,000 untuk komuniti dan industri e-sukan.

 

ESI berkata, dana itu bertujuan memberi galakan kepada penggiat industri e-sukan tempatan untuk menganjurkan lebih banyak program, pertandingan dan acara serta merancakkan ekosistem e-sukan negara.

 

Katanya, pertubuhan kecil, kelab, persatuan dan syarikat yang memerlukan bantuan dana bagi penganjuran program, pertandingan dan acara e-sukan dipelawa memohon dana tersebut.

 

"Antara beberapa skop permohonan yang boleh dipohon, termasuk pengelolaan pertandingan atau liga yang tidak bersaing dengan permohonan dana KBS yang lain seperti Geran Padanan Sukan (GPS) dan Dana Sukan Komuniti (DSK).

 

"Persediaan atlet untuk menyertai pertandingan e-sukan selain sukan temasya dan sukan tempatan yang dianjurkan pihak kementerian atau agensi kerajaan, program pembangunan kapasiti seperti bengkel, latihan, forum atau persidangan, pameran dan pesta e-sukan.

 

"Selain itu, penyiaran kandungan e-sukan (berkaitan dengan Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik KBS 2020-2025 dan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG), hadiah untuk pertandingan yang dijalankan penganjur dan pembiayaan visa," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut ESI, syarat-syarat permohonan, termasuk syarikat/organisasi yang berdaftar di bawah SSM, PJS, ROY atau ROS, peringkat penganjuran acara dan kumpulan sasaran program seperti akar umbi, belia, peringkat universiti, umum, profesional dan lain-lain.

 

Katanya, syarat-syarat lain adalah, keputusan permohonan dan jumlah dana yang diluluskan adalah tertakluk kepada Jawatankuasa Penilaian Peruntukan Dana Esukan KBS (JK) yang diwakili oleh ESI, Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).

 

"Selain itu, keputusan dan kelulusan semua permohonan akan dimaklumkan dalam tempoh masa 14 hari bekerja selepas tarikh tutup permohonan (30 November 2023), dan semua program yang dipohon berdasarkan skop permohonan perlulah dianjurkan sebelum 31 Januari 2024.

 

"Jumlah peruntukan maksimum yang dipertimbangkan untuk setiap permohonan adalah sehingga RM25,000 sahaja," katanya.

 

Permohonan Dana Esukan KBS dibuka sekarang dan boleh dibuat dengan mengisi borang secara dalam talian di pautan www.esportsintegrated.com/dana-esukan-kbs sehingga 30 November 2023.

 

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghanatr e-mel ke [email protected] atau hubungi 03-8064 4488 / 011-5429 5372. - DagangNews.com