KUALA LUMPUR 27 Mei - EPB Group Berhad (EPB) menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities.
Tawaran awam permulaan (IPO) syarikat penyedia penyelesaian mesin pemprosesan dan pembungkusan sehenti itu akan melibatkan terbitan awam sebanyak 111.57 juta saham biasa baharu dalam EPB.
Menurut prospektus EPB, pelaksanaan penyenaraian melibatkan terbitan awam 71,570,000 saham biasa baharu manakala 21,196,000 saham akan dikhaskan untuk permohonan oleh pengarah, pengurusan kanan utama, pekerja yang layak dan rakan perniagaan.
Sebanyak 30,804,000 saham biasa baharu atau 8.28% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan semasa penyenaraian akan disediakan untuk permohonan oleh Pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
EPB yang mula beroperasi pada 1992 menawarkan penyelesaian menyeluruh dalam reka bentuk, penyesuaian, fabrikasi, penyepaduan dan automasi barisan pengeluaran, di samping perdagangan dan pembuatan bahan pembungkusan fleksibel serta perdagangan sarung selulosa, memenuhi keperluan pelbagai keperluan industri makanan.

Pengarah Urusan EPB Group Berhad, Yeoh Chee Min berkata, IPO ini menandakan pencapaian penting kerana akan membolehkan Kumpulan memperluaskan operasi di Pulau Pinang.

Katanya, ini memberikan sumber yang diperlukan untuk memacu fasa pertumbuhan dan inovasi yang seterusnya, terutamanya dalam bidang integrasi robotik dalam penyelesaian mesin pemprosesan dan pembungkusan makanan.
"Modal yang dikumpul melalui IPO ini akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan rancangan pengembangan kami, termasuk pembesaran kilang sedia ada kami.
"Pengembangan ini bukan hanya mengenai skala operasi kami; ia mengenai meletakkan kedudukan kami secara strategik.
"Kumpulan mahu merebut peluang baru muncul dalam pasaran, dengan itu mengurangkan penggearan kami dan mengukuhkan modal kerja kami adalah untuk mengukuhkan status Kumpulan kami sebagai peneraju dalam menyediakan penyelesaian pemprosesan dan pembungkusan makanan yang komprehensif, memacu komitmen terhadap kecemerlangan dan inovasi dalam industri,” katanya.
Malacca Securities Sdn. Bhd. ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Agen Penempatan manakala WYNCORP Advisory Sdn. Bhd. ialah Penasihat Kewangan Korporat EPB Group Berhad. - DagangNews.com








