KUALA LUMPUR 11 Julai - EP Manufacturing Bhd telah menerima kelulusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk mengeluarkan dan memasang kenderaan cekap tenaga empat roda (EEV), kenderaan penumpang elektrik dan kenderaan komersial elektrik di Malaysia.
Kumpulan automotif itu berkata kelulusan bersyarat itu akan membolehkan anak syarikatnya, Peps-JV (Melaka) Sdn Bhd (PJVM) menubuhkan kilang pembuatan bagi mengeluarkan kenderaan tersebut dan produk berkaitan yang lain.
“Pengembangan ini akan membuka peluang perniagaan baharu untuk hasil dan pertumbuhan perniagaan, sambil menyelaraskan perniagaan dengan inisiatif kemampanan,” kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
Kumpulan itu berkata syarat kelulusan tertakluk untuk dipenuhi oleh PJVM dalam tempoh enam bulan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EP Manufacturing, Ahmad Razlan Mohamed berkata kumpulan itu merancang untuk membina kilang pembuatan tercanggih di Pegoh, Melaka bagi mempercepatkan lagi penerokaannya ke dalam pasaran ini.
"Kami percaya inisiatif ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan perniagaan, tetapi juga menyokong aspirasi dan visi Malaysia untuk masa depan yang lebih hijau," ujar beliau.

Pada 8 Mac, PJVM telah menandatangani perjanjian dengan CIS Pride Silver Rock Fund dan Sharkgulf Technologies Group Ltd untuk meneroka perniagaan kenderaan elektrik (EV), di mana CIS merupakan pembiaya utama untuk usaha niaga baharu itu.
CIS, yang diperbadankan di Kepulauan Cayman, ialah dana pelaburan yang diuruskan oleh Silver Rock Capital Ltd, Realchamp Asset Management Ltd dan The Pride Group Ltd., manakala Sharkgulf ialah sebuah syarikat berpangkalan di China yang mengeluarkan jenama Blueshark EV beroda dua.
EP Manufacturing juga berkata ia akan mewujudkan kemudahan pembuatan serta pusat jualan dan pengedaran EV beroda empat jenama Blueshark di Malaysia.
Kumpulan itu juga akan menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan yang menyediakan kepakaran teknikal dan sumber kepada Sharkgulf.
Semenjak pengumuman baharu ini, saham EP Manufacturing telah melonjak 31% atau 22 sen kepada 93 sen, memberikannya modal pasaran bernilai RM204.9 juta. - DagangNews.com








