KUALA LUMPUR 6 Ogos - Malaysia menduduki tempat teratas dalam carta tawaran awam permulaan (IPO) untuk Asia Tenggara pada separuh pertama tahun 2024 (1H2024) dengan mempunyai empat daripada 10 penyenaraian terbaik di rantau ini.
Dalam laporan Deloitte Southeast Asia Mid-Year IPO Snapshot 2024 menyebut Malaysia mencatatkan 21 IPO pada 1H2024 dengan empat daripada sepuluh penyenaraian teratas di rantau ini, termasuk pakar penjagaan kesuburan dan amanah perniagaan yang masing-masing mengumpul AS$94 juta.
Malaysia mencatatkan 21 IPO yang mengumpul kira-kira RM2.1 bilion (AS$450 juta) pada 1H2024.
Pasaran modal IPO Asia Tenggara menyaksikan 67 IPO pada separuh pertama tahun 2024, dengan hasil IPO sebanyak AS$1.4 bilion dan permodalan pasaran IPO sebanyak AS$5.8 bilion.
Ini dibandingkan dengan 85 IPO, hasil IPO AS$3.4 bilion dan permodalan pasaran IPO sebanyak AS$20.1 bilion pada separuh pertama tahun 2023.
Menurut Deloitte, sejak tahun 2018, jumlah penyenaraian baru di Pasaran ACE telah melebihi Pasaran Utama.
ARTIKEL BERKAITAN: FBM KLCI diunjur cecah 1,730 mata akhir tahun ini, pelaburan GLIC antara pemangkin - Rakuten Trade
Firma itu berkata, landskap IPO di Malaysia kelihatan menjanjikan untuk baki tahun 2024 dengan sasaran Bursa Malaysia sebanyak 42 penyenaraian kekal optimistik.
"Kami telah melihat majoriti penyenaraian baru di pasaran ACE telah mencatatkan keuntungan dalam harga saham selepas penyenaraian mereka," katanya.
Deloitte juga menyatakan bahawa separuh daripada syarikat ini mengalami kenaikan harga saham dua digit seminggu selepas IPO mereka, menunjukkan penilaian IPO yang munasabah yang disokong oleh kecairan pasaran yang mencukupi.
Mereka juga berkata Malaysia akan terus menampilkan nama jenama yang telah mapan dalam landskap IPO.
"Untuk 1H24, kami telah melihat pakar penjagaan kesuburan Alpha IVF Group Bhd mengumpul kira-kira RM440.1 juta (AS$94 juta).
"Perlu diingat, Malaysia juga mempunyai 4 daripada 10 IPO teratas di Asia Tenggara pada 1H2024.
"Ini jelas menunjukkan landskap ekonomi Malaysia yang positif, dan terdapat banyak syarikat baik yang bersedia untuk memanfaatkan kehadiran pasaran mereka yang kuat untuk mengambil peluang dalam pasaran modal IPO," tambahnya. - DagangNews.com