Ekosistem dan sijil halal Malaysia kini di persada dunia - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekosistem dan sijil halal Malaysia kini di persada dunia - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat reruai selepas merasmikan persidangan antarabangsa Global Halal Summit (GHaS) 2023 di ibu negara, baru-baru ini. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

 

KUALA LUMPUR 15 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepada pemimpin-pemimpin dunia bahawa Malaysia merupakan pusat pengeluaran persijilan halal yang diiktiraf dunia.

 

Perkara itu ditegaskan ketika pertemuan beliau dengan pemimpin-pemimpin dari Jepun, China dan Korea yang kini merupakan gergasi ekonomi dunia, ketika persidangan antarabangsa Global Halal Summit (GHaS) 2023 di ibu negara, baru-baru ini. 

 

Menurut Perdana Menteri, ia adalah satu kelebihan yang perlu disedari dan direbut sepenuhnya oleh negara.

 

"Begitu juga ketika lawatan rasmi saya ke Vietnam dan Laos baru-baru ini, dalam rundingan dua hala yang diadakan, saya ditanya secara terperinci mengenai aspek persijilan halal dan eko-sistem industri halal dan mereka memohon bantuan Malaysia di dalam melatih dan membuka laluan kepada pengwujudan rangkaian produk halal di negara mereka. 


 
"Kenapa kita ditanya? Ia adalah kerana dunia mengiktiraf ketelitian dan eko-sistem yang kita wujudkan di dalam industri halal," ujar beliau.  

 

Malah katanya, konsep Ekonomi MADANI yang dilancarkan baru-baru ini menzahirkan aspirasi untuk pembangunan negara melalui pengukuhan perdagangan termasuk industri halal yang lebih inovatif dan berdaya saing.

 

Katanya, ini meletakkan Malaysia di landasan betul dengan keutamaan yang ditetapkan untuk memupuk daya saing industri halal yang inklusif sebagai salah satu daripada strategi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mempercepatkan pembangunan industri berimpak tinggi. 

 

 

anwar

 

 

Dalam pada itu, pertumbuhan sektor halal bukan sahaja didorong oleh populasi Islam di seluruh dunia, tetapi terdapat faktor-faktor seperti nilai tambah, kebersihan dan keasliannya, yang menjadikan produk halal Malaysia berada di kedudukan tinggi dan juga menjadi pilihan utama pengguna di negara bukan Islam.  


 
Malaysia telah lama menjadi peneraju industri halal. Kerajaan giat membangun dan meningkatkan ekosistem halal, termasuk penyelidikan dan pewujudan infrastruktur yang baik dan diiktiraf untuk menyokong perkembangan sektor halal negara. 

 

Ini dapat dilihat melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang merupakan agensi yang bertanggungjawab bagi pensijilan halal.

 

Logo halal JAKIM mempunyai reputasi yang sangat baik serta jaminan bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah berdasarkan piawaian yang ditetapkan dengan integriti yang diyakini. 

 

Ekosistem halal negara diperkukuhkan lagi dengan penubuhan Halal Development Corporation Berhad (HDC) yang bertanggungjawab membangunkan industri halal.

 

 

anwar

 

 

anwar

 

 

Ekosistem industri ini tidak hanya perlu bertumpu kepada produk makanan dan minuman sahaja namun perlu diperluaskan kepada produk lain seperti kosmetik dan farmaseutikal serta perkhidmatan seperti perbankan dan takaful.  

Ekosistem yang kukuh ini membolehkan Malaysia menjadi peneraju industri halal global yang kompetitif dengan menghubungkan kerajaan, pemain industri serta para pengguna dalam rantaian nilai halal.

 

Melalui penciptaan peluang, pelaburan, perdagangan, pekerjaan, perkongsian maklumat dan pemindahan teknologi dalam rantaian nilai halal, Malaysia mampu menjadikan industri ini lebih kompetitif dan berdaya saing bagi menangani cabaran perdagangan global. 

 

Jabatan Standard Malaysia (JSM) turut berperanan untuk memartabatkan industri halal Malaysia sebagai satu penanda aras terhadap nilai kualiti serta tahap keselamatan sesuatu barangan yang menepati piawaian atau standard antarabangsa.

 

Sekali lagi, ini tidak terhad kepada pasaran di negara Islam semata-mata. Kita berbangga apabila Malaysia menjadi negara yang pertama mewujudkan Malaysian Standards atau MS berkaitan halal yang menjadi rujukan kepada negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). 

 

 

anwar

 

 

Sebagai pelengkap kepada ekosistem dan ekonomi halal Malaysia, GHaS 2023 akan terus mengekalkan momentum halal ini dengan menyediakan lebih banyak peluang baharu.

 

Penganjuran GHaS ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam mempromosi serta mengekalkan reputasi halal, bukan setakat di Malaysia sahaja namun juga di peringkat antarabangsa.  

 

 
GHaS telah membuka ruang dan peluang serta menjadi platform terbesar kepada semua pemain industri halal dunia, sejajar dengan sasaran kita untuk terus menjadikan Malaysia negara pilihan utama bagi produk dan perkhidmatan halal di peringkat antarabangsa. 

 

 

anwar

 


 
Seterusnya GHaS, khususnya melalui program ikoniknya MIHAS, turut berfungsi sebagai pilihan terbaik untuk pemain industri menjalin hubungan dengan rakan-rakan perniagaan dari seluruh dunia. 


 
JAKIM selaku badan yang diiktirafkan oleh kerajaan, bertanggungjawab mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berdasarkan standard halal yang dibangunkan dengan kerjasama JSM.

 

Sejumlah 15 standard telah dibangunkan bagi sektor halal merangkumi skim makanan dan minuman, farmaseutikal, logistik, kosmetik, ujian makmal halal dan perkhidmatan hospitaliti mesra Muslim. 

 

 

anwar

 


 
Hari ini Malaysia berada di ambang evolusi industri halal yang mengagumkan, dipacu permintaan berterusan daripada pasaran global.

 

Bagi melindungi cap dagangan Halal Malaysia sebagai harta intelek yang amat bernilai, JAKIM mengambil inisiatif untuk melaksanakan proses pendaftaran cap dagangan Halal Malaysia di luar negara melalui SIRIM Berhad.  


 
Sehingga kini, cap dagangan atau logo Halal Malaysia ini telah didaftar dan digunapakai di 26 negara selain Malaysia termasuk Amerika Syarikat, Brazil, Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan, Mesir, Emeriah Arab Bersatu dan Kazakhstan. 


 
Buat julung kalinya juga, pemain industri di luar negara berpeluang untuk membuat permohonan secara terus kepada JAKIM bagi pensijilan Halal Malaysia, melalui inisiatif terbaharu iaitu ‘International Direct Application for Malaysian Halal Certification’.  


 
Pensijilan Halal Malaysia antarabangsa ini merangkumi tujuh skim, termasuk produk makanan dan minuman, kosmetik, farmaseutikal, barang gunaan, perkhidmatan logistik, peranti perubatan dan pengilangan kontrak.

 

 

anwar

 

 

Inisiatif ini perlu dilihat sebagai satu gerbang yang menghubungkan negara kepada peluang tanpa sempadan. JAKIM meneruskan usaha ini dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan ‘Manual Procedure for Malaysia Halal Certification (International) 2023’.  


 
Garis panduan yang dirangka secara komprehensif ini berfungsi sebagai pemandu arah bagi pemain industri halal bertapak di peringkat global.

 

Ia bertujuan untuk memelihara integriti dan keyakinan pengguna terhadap logo Halal Malaysia, terutamanya dalam lanskap global yang lebih kompleks dan semakin mencabar. 


 
Usaha JAKIM ini juga menjadi pemangkin kepada negara-negara lain untuk mengikut jejak langkah Malaysia yang merupakan perintis industri halal dunia.

 

Sinergi kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan badan-badan pensijilan antarabangsa serta pemain industri halal mampu menangani cabaran ekonomi dunia semasa dan mendorong negara untuk memperkasakan lagi industri halal global. 

 

 

anwar

 

 

Atas sebab itulah, seruan Perdana Menteri agar pemain industri halal negara memanfaatkan sepenuhnya ekosistem Halal Malaysia yang kukuh ini untuk meneroka dan mencipta peluang yang lebih besar dalam pasaran halal global perlu diberi perhatian secukupnya oleh semua pemain.  


 
Sebagai hab halal global utama, ini secara tidak langsung akan membolehkan Malaysia menyumbang kepada syer pasaran halal dunia yang dijangka berkembang 3.5% setiap tahun untuk mencapai jumlah AS$2.4 trilion pada 2024. 


 
GHaS merupakan satu platform utama pertemuan Badan Pensijilan Halal seluruh dunia untuk bertukar pandangan dalam meneroka amalan terbaik, mencetuskan percambahan idea dan berkongsi perkembangan terkini industri halal bagi memartabatkan pensijilan halal sedunia. - DagangNews.com