Ekonomi negara berkembang 3.6% Q4FY21 sejak UMNO terajui kerajaan | DagangNews Skip to main content

Ekonomi negara berkembang 3.6% Q4FY21 sejak UMNO terajui kerajaan

Kerajaan UMNO tidak akan membenarkan penjarahan wang Petronas sewenang-wenangnya seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Mac - Sejak UMNO menerajui semula kerajaan, ekonomi negara Malaysia berkembang sebanyak 3.6% pada suku keempat berbanding menguncup 4.5% pada suku ketiga tahun 2021, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, jumlah eksport negara pula meningkat sebanyak RM28.2 bilion (Ogos-Dec 2021).

 

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pengukuhan ekonomi ini disokong dengan aliran masuk Pelaburan Terus Asing (FDI) sebanyak RM24.7 bilion pada suku tahun keempat berbanding RM12.8 bilion bagi suku ketiga.

 

''Hari ini, saya ingin mengumumkan pelaburan baharu sebanyak RM32 bilion bagi membangunkan Automotive High-Technology Valley (AHTV) Di Proton City, Tanjung Malim, Perak.

 

''Pelaburan daripada DRB-Hicom ini bakal mewujudkan 370,000 peluang pekerjaan sepanjang fasa pembangunan serta 161,000 sepanjang fasa operasi.

 

''Inilah bukti keyakinan para pelabur luar negara terhadap kerajaan pimpinan UMNO,'' kata Ismail Sabri dalam ucapan penggulungan Naib Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, banyak peluang pekerjaan berjaya dicipta, dengan kadar pengangguran menurun kepada 4.2% berbanding 4.6% pada Ogos 2021.

 

''Sebanyak 558,000 pencari kerja berjaya mendapat penempatan pada tahun 2021 melebihi sasaran menyediakan 500,000 peluang pekerjaan,'' ujar beliau.

 

Pada tahun ini, Kerajaan telah melancarkan inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion untuk menyediakan 600,000 peluang pekerjaan yang merangkumi;
(i) Insentif Penggajian,
(ii) Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MyStep)
(iii) Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran

 

Bagi memantau dan memastikan sasaran ini berjaya untuk memberi peluang kepada anak muda, graduan lepasan universiti dan pencari kerja, Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri akan mengerahkan seluruh agensi kerajaan, Badan Berkanun, Syarikat Milik Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Milik Kerajaan (GLIC) untuk turut menjayakan perancangan ini.

 

Beliau berkata, prestasi GLC dan GLIC juga semakin baik untuk tahun 2021. Sebagai contoh, Petronas mencatat keuntungan sebanyak RM48.6 bilion berbanding kerugian RM1.137 bilion pada tahun 2020.

 

''Azam saya, selagi kerajaan ini, kerajaan UMNO, kita tidak akan membenarkan penjarahan wang Petronas sewenang-wenangnya seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan,'' ujar beliau.

 

Menurut Perdana Menteri, GLC dan GLIC telah memberikan sumbangan kepada Keluarga Malaysia melalui CSR. Dalam tempoh dua tahun sejak 2020 Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN) telah berjaya membantu lebih 450,000 orang yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan banjir dengan pelbagai jenis bantuan bernilai RM327 juta.

 

''KWSP pula mengagihkan dividen sebanyak 6.1% dan LTAT, 4.1%. Kedua-dua dividen ini adalah yang tertinggi sejak tahun 2018. Tidakkah ini semua bukti ekonomi kita sedang memulih?,'' kata Ismail Sabri.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memperkenalkan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion sekali gus memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan sektor informal seperti peniaga-peniaga kecil.

 

Melalui program ini, contohnya, Kerajaan menyediakan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro atau SPIM dan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional atau CBRM, akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 ribu tanpa faedah. Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.

 

Bagi usahawan agro-makanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75 ribu tanpa faedah berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan, kata Ismail Sabri. - DagangNews.com