KUALA LUMPUR 29 Nov - edotco, pemain utama dalam industri infrastruktur telekomunikasi menjalin kerjasama terobosan dengan Zeta IOS Sdn Bhd untuk merevolusikan ketersambungan luar bandar dengan membangunkan rumusan Akses Wayarles Tetap (FWA) dan Super WiFi bersepadu.
Ia menggunakan teknologi internet jalur lebar satelit canggih seperti SpaceX Starlink, MEASAT CONNECTme dan Eutelsat OneWeb.
Selaras dengan misi edotco untuk membantu negara mempercepatkan kesalinghubungan yang saksama, perkongsian dengan Zeta IOS merupakan langkah kritikal ke arah mencapai matlamat itu.
Kerjasama itu juga sejajar dengan matlamat kerajaan yang bercita-cita tinggi untuk menghubungkan 1 juta rakyat yang tidak berhubung di seluruh negara, dengan merapatkan jurang digital dan memupuk pertumbuhan digital yang inklusif.
Zeta IOS dipilih secara strategik untuk usaha tersebut kerana kelayakan dan keupayaannya yang mengagumkan dalam rumusan sambungan bersepadu hujung ke hujung.
Ketua Pegawai Eksekutif edotco, Adlan Tajudin berkata, melalui perkongsian dengan Zeta IOS, pihaknya sedang mengambil lonjakan ketara dalam menghubungkan kawasan paling terpencil di Malaysia, yang mana infrastruktur ketersambungan di bawah inisiatif Rangkaian Digital Nasional (Jendela) mungkin tidak sampai.
"Rumusan FWA bersepadu yang menggunakan perkhidmatan pengunduran satelit bukan sekadar kemajuan teknologi, ia adalah talian hayat yang merapatkan jurang, memastikan tiada komuniti yang ketinggalan dalam perjalanan kami ke arah Malaysia yang terhubung sepenuhnya.

"Kami komited untuk membawa ketersambungan ke setiap sudut negara, mengubah kehidupan dan memperkasakan komuniti luar bandar dengan alat digital yang mereka perlukan untuk berkembang maju pada abad ke-21," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Kerjasama itu menandakan satu peristiwa penting dalam komitmen Edotco untuk membentuk ketersambungan digital negara.
Dengan memanfaatkan kepakaran Zeta IOS dan aset Edotco yang luas, kerjasama tersebut memberikan impak transformatif kepada masyarakat luar bandar, memupuk rangkuman digital yang lebih besar dan membuka jalan baharu untuk pembangunan ekonomi dan sosial. - DagangNews.com








