KUALA LUMPUR 10 Jun - EcoWorld Malaysia menerusi Eco Business Park 6 Sdn Bhd menjual tanah perindustrian berkeluasan kira-kira 123.141 ekar (50 hektar) di Kulai, Iskandar Malaysia kepada Microsoft Payments (Malaysia) Sdn Bhd pada harga RM402.3 juta.
Eco Business Park 6 Sdn Bhd dan Microsoft Payments memasuki perjanjian jual beli bersyarat pada 7 Jun 2024.
Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia, EcoWorld Malaysia berkata, pertimbangan sebanyak RM402.3 juta itu dikira berdasarkan kawasan tanah pada kadar sebanyak RM75 setiap kaki persegi yang akan dibayar secara tunai.
"Berdasarkan SPA, pembeli akan memperoleh tanah dari penjual dalam keadaan "apa adanya", bebas dari segala beban, dengan milikan kosong dan tertakluk kepada penyelesaian Kerja Pra-Penutupan (seperti yang ditakrifkan dalam Bahagian 2.2.3 pengumuman ini) dan mengikut terma dan syarat dalam SPA.
"Tanah berkeluasan kira-kira 123.141 ekar tersebut kini merupakan sebahagian daripada tanah induk yang dipegang di bawah H.S.(D) 74885 PTD 112726, Mukim Senai, Daerah Kulai, Negeri Johor (Tanah Induk). Ia terletak di dalam Eco Business Park VI (EBP VI)," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut pemakluman itu, cadangan jualan tanah berkenaan menandakan transaksi pertama untuk EBP VI, kurang dari 6 bulan sejak EcoWorld Malaysia menyelesaikan pembelian tanah pada 18 Januari 2024.
"Kumpulan percaya bahawa kehadiran pemimpin teknologi yang diiktiraf secara antarabangsa yang memilih untuk menubuhkan pusat data yang besar di sini akan lebih memacu permintaan bagi produk industri lain di EBP VI.
"Selain itu, ia membolehkan Kumpulan untuk segera membuka nilai EBP VI untuk mempercepat aliran tunai dari projek tersebut. Penyelesaian jualan tanah ini akan menambahkan kepada rizab tunai EcoWorld Malaysia untuk pembelian tanah baru yang sedang aktif diusahakan oleh Kumpulan," jelasnya. - DagangNews.com








