Duopharma, Holistics Lab bekerjasama pertingkat kecekapan permohonan sijil halal menerusi MyHalalGig | DagangNews Skip to main content

Duopharma, Holistics Lab bekerjasama pertingkat kecekapan permohonan sijil halal menerusi MyHalalGig

Pengurus Kanan 1, Halal Compliance Duopharma, Roziah Hanim (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Holistics Lab, Mohd Iskandar IIyas Tan (kiri) bersama Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan MATRADE, Mansor Shah Wahid (tengah)
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Duopharma Biotech Berhad bekerjasama dengan Holistics Lab Sdn Bhd untuk membantu pemain industri halal mereka bentuk, membangun dan memantau sistem jaminan halal mereka menerusi MyHalalGig.

 

Platform pengurusan halal dan sistem repositori digital yang dibangunkan oleh Holistics Lab itu turut akan membantu menguruskan dokumen berkaitan halal dan penyerahan permohonan kepada pihak berkuasa Malaysia.

 

Melalui pelaksanaan platform MyHalalGig, Duopharma dapat mengatasi cabaran proses dokumentasi halal yang mengambil masa dan rumit, sekali gus mengurangkan kos dan kertas kerja.

 

Di samping itu, platform terbabit meningkatkan produktiviti, kesediaan audit dan kemudahan pemantauan melalui pengurusan data berpusat dan papan pemuka yang komprehensif.

 

 

duopharma

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata sebagai syarikat farmaseutikal halal terkemuka, kumpulan itu komited untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kapasiti inovasi dengan pelaksanaan teknologi revolusi perindustrian keempat (4IR) terkini.

 

“Platform MyHalalGig dari Holistics Lab amat sesuai untuk membantu kami memaksimumkan produktiviti sambil mengoptimumkan kos pengurusan dan operasi melalui pendigitalan.

 

“MyHalalGig bukan sahaja membantu kami untuk mengumpul dan menyusun semua dokumentasi halal dengan selamat, tetapi sistem sambungan pintarnya juga mampu mengemas kini syarat baharu pensijilan Halal JAKIM.

 

Selain itu, ia mengingatkan tarikh tamat tempoh pensijilan bahan mentah dan produk, serta Prosedur Operasi Standard yang lain kepada pasukan operasi kami,” ujar beliau.

 

Bagi menandakan kerjasama itu, satu majlis pertukaran dokumen telah diadakan baru-baru ini bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2023) di Kuala Lumpur. - DagangNews.com