DSA 2024: Tun Mahathir mahu syarikat pembekal senjata kepada Israel diusir segera | DagangNews Skip to main content

DSA 2024: Tun Mahathir mahu syarikat pembekal senjata kepada Israel diusir segera

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Mei - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kehadiran Lockheed Martin dan BAE System pada Pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 di ibu negara dalam edisi terdahulu tidak boleh disamakan dengan tahun ini yang amat luar biasa susulan perkembangan semasa di Palestin.

 

Menurut bekas Perdana Menteri itu, pembunuhan beramai-ramai oleh Zionis terhadap Palestin begitu kejam dan tanpa sedikit perikemanusiaan dengan Lockheed Martin dan BAE System didakwa sebagai pembekal senjata  kepada regim itu untuk melakukan serangan dan pengeboman ke atas rakyat Palestin sejak 7 Oktober tahun lalu.

 

Tegas beliau, membenar syarikat-syarikat sedemikian memperolok dan mempersenda segala usaha menentang kekejaman regim Tel Aviv.  

 

"Kita seolah-olah bersekongkol dengan mereka menumpah darah rakyat Palestin termasuk bayi, kanak-kanak dan orang awam yang lain.

 

"Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan harus mengambil tindakan tegas dan mengarah syarikat-syarikat ini keluar dari Malaysia seberapa segera yang boleh," katanya dalam kenyataan media.

 

Tegas Dr Mahathir, tindakan ini juga tidak harus terhad kepada dua syarikat tersebut. 

 

"Jika ada syarikat-syarikat lain yang membekal senjata kepada regim Zionis masa kini, mereka juga perlu dinyah keluar dari Malaysia.

 

"Mereka perlu tahu bahawa tidak ada tempat di Malaysia untuk mana-mana pihak yang menyokong atau bersubahat dengan Israel melakukan genosid ke atas orang Palestin," jelasnya.

 

Menurut Dr Mahathir, kehadiran syarikat berkenan ke Malaysia ketika ini di atas anjuran DSA dan NATSEC Asia 2024 dengan kerjasama Kementerian Pertahanan adalah sesuatu yang amat menjengkelkan.

Malah kata bekas Perdana Menteri itu, ia satu penghinaan kepada perjuangan rakyat Palestin dan dokongan rakyat Malaysia yang menentang genosid yang sedang dilakukan di Gaza.

 

"Beberapa syarikat pembuat senjata, yang ketika ini digunakan untuk membantai rakyat Palestin, diberitakan hadir di Pameran Defence and Service Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2024, seharusnya disuruh pulang dan meninggalkan Malaysia dengan seberapa segera.

 

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan syarikat global dengan mana-mana negara tertentu. 

 

Beliau memberi reaksi itu selepas pihaknya mengambil maklum mengenai desakan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan penyertaan beberapa syarikat pertahanan global dalam pameran DSA dan NATSEC 2024.

 

"Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia.

 

"Justeru, Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan negara tertentu.

 

"Hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan," kata Khaled seperti dilapor media.

 

Menurutnya,  Kementerian Pertahanan sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas Palestin.- DagangNews.com