KUALA LUMPUR 25 Mei - Platform kesihatan digital pertama dan terbesar di Malaysia, Health Digital Technologies Sdn. Bhd. (DoctorOnCall) memeterai perjanjian kerjasama dengan Pertubuhan Doktor–Doktor Islam Malaysia (PERDIM), sebuah organisasi yang menguruskan pengamal am dalam penyediaan penjagaan kesihatan primer di negara ini.
Kerjasama tersebut bertujuan menyediakan akses kepada ahli-ahli PERDIM untuk menyenaraikan perkhidmatan mereka pada platform DoctorOnCall, menghubungkan mereka dengan bakal pesakit dengan lancar, seterusnya merapatkan jurang antara penyedia penjagaan kesihatan dan pesakit.
DoctorOnCall merupakan platform digital terjamin yang menawarkan pangkalan data dalam talian bagi produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan menggabungkan maklumat dan tawaran daripada pelbagai penyedia penjagaan kesihatan dan pakar perubatan di seluruh Malaysia.
Pangkalan data dalam talian tersebut juga akan membantu pesakit mencari dan mengenal pasti doktor yang sah dan mempunyai reputasi baik, di samping mendapatkan jenis rawatan dan produk yang sesuai dengan rawatan penyakit dihadapi mereka.
Melalui platform yang menawarkan interaksi dan hubungan antara pembekal penjagaan kesihatan dan pesakit itu, ahli PERDIM akan dapat menawarkan perkhidmatan berkaitan kesihatan jarak jauh seperti telekonsultasi dan pemantauan di rumah, selain daripada membolehkan pesakit membuat tempahan untuk temu janji mereka di klinik.
Pesakit juga akan dapat menerima rawatan dengan segera dan tepat pada masanya dengan kos efektif kerana mereka tidak lagi perlu pergi ke klinik dan terpaksa menunggu berjam-jam. Ia juga mengelakkan berlaku kesesakan di pusat kesihatan yang boleh memudaratkan mereka yang lemah imun, kurang upaya atau mempunyai penyakit tidak boleh berada dalam kesesakan.
Pengarah dan Pengasas Bersama DoctorOnCall, Hazwan Najib berkata, sebagai sebahagian daripada misi mereka untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses, DoctorOnCall komited untuk membentuk rangkaian penyedia penjagaan kesihatan di seluruh negara untuk menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan yang unggul.

"Dengan memahami kekurangan yang dihadapi dalam ekosistem penjagaan kesihatan negara, kami dapat menyediakan platform penjagaan kesihatan sehenti yang memberikan rangkaian perkhidmatan bersepadu secara sinergi kepada doktor-doktor PERDIM.
"Penyenaraian perkhidmatan mereka di DoctorOnCall juga akan membolehkan penyedia penjagaan kesihatan PERDIM menawarkan lebih banyak perkhidmatan tertumpu pesakit dan seterusnya mengutamakan keperluan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden PERDIM, Dr Boi Saidi Abdul Razak berkata, melalui platform dalam talian itu, pengamal perubatan PERDIM akan dapat memberikan kesedaran mengenai produk dan perkhidmatan mereka kepada lebih ramai pesakit, berbanding sebelum ini.

"Matlamat kami bukanlah untuk menghapuskan perundingan fizikal sepenuhnya, sebaliknya kami mahu melengkapkan perundingan fizikal dengan perkhidmatan penjagaan maya untuk meningkatkan kualiti penglibatan pengamal perubatan-pesakit.”
Sehingga kini, DoctorOnCall menyediakan platform digital perkhidmatan penjagaan kesihatan paling komprehensif yang ditawarkan kepada lebih 1,000 pengamal perubatan. DoctorOnCall telah menghubungkan hampir 700,000 pesakit dengan penyedia penjagaan kesihatan sejak penubuhannya. - DagangNews.com








