KUALA LUMPUR 8 Sept - Destini Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM19.04 juta untuk perolehan, pembekalan dan penghantaran Forges de Zeebrugge rocket motor kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Penyedia rumusan kejuruteraan itu berkata kontrak tersebut diberikan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) kepada anak syarikatnya, Destini Prima Sdn Bhd (DPSB) bagi tempoh dua tahun sehingga 5 September 2025.
“DPSB dikehendaki menyediakan bon prestasi sebanyak RM476,037.97.
“DPSB dikehendaki menjalankan latihan profesional dan pendidikan untuk usahawan yang sedang berkembang – sedia bekerja (Protege-RTW) dengan kos sendiri,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Destini berkata kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan sepanjang tempoh kontrak.
Pada tahun ini, Destini telah menerima beberapa kontrak daripada MINDEF. Antaranya, lanjutan kontrak dua tahun untuk membekalkan alat ganti pesawat kepada TUDM bernilai RM222.25 juta pada Julai lalu.
Saham Destini dibuka tidak berubah pada 9.5 sen pada pukul 9:15 pagi ini, dengan permodalan pasaran RM158 juta. - DagangNews.com







