Datuk Abdul Harith Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Ramssol baharu | DagangNews Skip to main content

Datuk Abdul Harith Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Ramssol baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Jun - Ramssol Group Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Abdul Harith Abdullah sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif baharunya berkuat kuasa pada 6 Jun 2023, menggantikan Datuk Seri J Vignaesvaran yang bersara daripada jawatan itu pada 1 Jun 2023.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ramssol, Cllement Tan berkata, Harith tidak asing dalam industri yang mana beliau cemerlang dalam kepimpinan strategik dan pelaksanaan. 

 

Katanya, dengan pengalaman selama berdekad dalam peranan kepimpinan merentas beberapa industri, Harith telah menunjukkan rekod prestasi yang kukuh dalam transformasi organisasi, memacu hasil dan inovasi di tengah-tengah landskap yang berkembang pesat. 

 

"Kekayaan pengalamannya akan membawa perspektif baharu untuk menerajui transformasi berterusan Ramssol dan membina komitmen kami terhadap inovasi.

 

"Ia juga akan memberi tumpuan kepada penyampaian penyelesaian teknologi kritikal perniagaan, sambil kami terus meneroka jalan baharu untuk pertumbuhan dan pengembangan pasaran," katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Cllement, pengalaman Harith dalam industri akan terus menyumbang kepada kejayaan berterusan Ramssol, khususnya kepakaran dalam automotif.

 

Katanya, pengetahuannya akan menjadi pemangkin dalam memacu pembangunan dan melancarkan Rider Gate, sebuah platform aplikasi mudah alih canggih Ramssol yang memperkasakan peruncit motosikal untuk menyelaraskan operasinya, meningkatkan pengalaman pelanggan serta kecekapan jualan.

 

Terdahulu, Harith mempunyai pengalaman korporat selama 33 tahun bersama DRB-Hicom Bhd, dengan memulakan kerjayanya sebagai pereka automotif di Proton pada 1985. 

 

Di DRB-Hicom, beliau memegang pelbagai jawatan kanan dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan kejayaan kumpulan. 

 

Beliau telah dilantik sebagai pengarah kumpulan sektor automotif dan pertahanan pada 2012. Pada 2014, beliau telah dinaikkan pangkat kepada pengarah kanan kumpulan dan dipinjamkan ke Proton Holdings Bhd sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan sehingga 2016. 

 

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) DRB-Hicom, jawatan yang disandangnya sehingga bersara daripada kumpulan itu pada 2018. 

 

Sepanjang kerjayanya di DRB-Hicom, Harith telah terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, pemasaran, penjualan, pengedaran, pembekalan rantaian, dan pembuatan. 

 

Beliau dalam kapasitinya sebelum ini sebagai COO kumpulan berkhidmat dalam lembaga pengarah serta menerajui pelbagai anak syarikat dan syarikat usaha sama dalam DRB-Hicom, termasuk Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (lModenas), menunjukkan kepimpinannya yang luar biasa. 

 

Selepas pemergiannya dari DRB-Hicom, Harith menceburi perniagaannya sendiri melalui Special Esplanade Sdn Bhd, yang mana beliau menyediakan khidmat perundingan perniagaan yang pakar dalam automotif, pembuatan dan strategi pertahanan. 

 

Harith memegang Ijazah Sarjana dalam Reka Bentuk (Reka Bentuk Kenderaan) dari Royal College of Art, London, United Kingdom, dan menerima anugerah kebangsaan Anugerah Perdana Menteri Tokoh Mahir pada 2015. - DagangNews.com