Datasonic miliki peluang cerah raih kontrak MyKad, MIDF Research mulakan liputan dengan saranan 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Datasonic miliki peluang cerah raih kontrak MyKad, MIDF Research mulakan liputan dengan saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Julai - MIDF Research memulakan liputan terhadap Datasonic Group Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran 57 sen sesaham berikutan kedudukannya sebagai pemain utama dalam ruang keselamatan dan identiti digital. 

 

Bagi firma itu, penilaian yang diberikan adalah wajar memandangkan prospeknya semakin baik, terutamanya didorong dengan jangkaan permintaan terpendam untuk dokumen perjalanan seiring kelonggaran sekatan perjalanan.

 

Selain itu, katanya, kumpulan juga yakin akan memperoleh kontrak baharu bagi generasi baharu MyKad bernilai RM400 juta bagi membekalkan 12.5 juta kad dan 77 peralatan pencetakan baharu.

 

"Dalam hal ini, kami melihat Datasonic mempunyai peluang yang tinggi untuk meraih kontrak tersebut berdasarkan kepada rekod prestasinya yang terbukti selama 10 tahun ini dalam mengeluarkan dan mengendalikan ID keselamatan nasional dengan kerajaan Malaysia.

 

"Ia juga memiliki teknologi keselamatan termaju sedia ada untuk memperkenalkan penggantian MyKad baharu dengan ciri keselamatan yang lebih baik.

 

"Memandangkan cip MyKad mempunyai pengekalan data sehingga 20 tahun dan jangka hayat kad selama 10 tahun, kami percaya generasi baharu MyKad akan dilancarkan tidak lama lagi.," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Datasonic yang diperbadankan pada 22 Oktober 1980 mula terlibat dalam pengeluaran dokumen identiti dipercayai seperti MyKad sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012. 

 

Ia berkembang dari semasa ke semasa bermula dengan hanya menjual produk ICT dalam bentuk borang komputer dan pencetak kad kredit kepada institusi kewangan di Malaysia, hinggalah membekalkan sistem dan penyelesaian peribadi kad pintar, bahan guna pakai dan menyediakan sokongan teknikal dan perkhidmatan penyelenggaraan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

 

 

Datasonic

 

 

Selain MyKad, kumpulan juga optimis akan meraih lanjutan kontrak untuk penyelesaian berkaitan pasport, MyKad, i-Kad dan kad ID digital nasional dengan teknologi yang telah tersedia.

 

Secara keseluruhan, MIDF Research percaya komitmen Dsonic untuk terus mendahului teknologi keselamatan menjadikannya lebih menarik berbanding pemain industri lain untuk dipilih secara berterusan sebagai vendor penyelesaian berkaitan keselamatan ID nasional.

 

Malah, firma itu berpendapat teknologi keselamatan ID kelas dunia Datasonic dapat memastikan inovasi bergerak pantas ke hadapan tanpa menjejaskan identiti dan keselamatan negara seiring dengan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penipuan identiti dalam era digital ini.

 

"Oleh itu, kami percaya bersedia untuk merebut yang semakin berkembang dalam pasaran identiti digital dan ruang keselamatan," jelasnya.

 

Menurutnya, kedudukan tunai kumpulan yang sedia kukuh akan memberi kelebihan tambahan kepadanya untuk meneroka pasaran yang semakin meningkat yang lebih berintensifkan modal dan membolehkannya kekal berdaya saing dalam menghasilkan teknologi keselamatan termaju.

 

Kedudukan tunai Datasonic berjumlah RM114.7 juta setakat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FY22) dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 55.3% dalam tempoh 4 tahun lalu sejak FY19 hingga FY22.

 

Penggearan juga hampir tidak wujud pada 0.1% setakat FY22, menepati kedudukan lembaran imbangan kumpulan, membolehkannya menyediakan akses kepada kecairan.

 

MIDF Research menjangkakan pendapatan Datasonic akan berkembang dengan CAGR sebanyak 106.9% bagi tempoh FY22 hingga FY25 dipacu terutamanya daripada permintaan terpendam bagi passport selepas sempadan antarabangsa dibuka semula. 

 

Katanya, kumpulan dianggarkan akan mengeluarkan 2.5 hingga 3 juta unit passport dalam tempoh FY23 hingga FY25 dengan merekodkan hasil masing-masing sebanyak RM175 juta dan RM210 juta.

 

"Melangkah ke hadapan, kami optimis kumpulan boleh memperoleh, antara lain, kontrak generasi baharu MyKad serta projek NDID yang akan dilancarkan tidak lama lagi, didorong nilai kontrak yang kukuh, rekod prestasi yang terbukti memenangi projek kerajaan serta kelebihan daya saing mereka dari segi ciri dan perkhidmatan produk keselamatan berkualiti tinggi," katanya. 

 

Setakat 9.32 pagi ini, harga saham Datasonic kekal tidak berubah pada 47 sen dengan 239,900 saham diniagakan. - DagangNews.com