KUALA LUMPUR 21 Mei - TA Securities meramalkan peningkatan dalam prestasi perdagangan Malaysia pada 2024 didorong oleh permintaan yang semakin meningkat daripada pasaran antarabangsa, pemulihan ekonomi China dan prospek pasaran semikonduktor global.
Jelas firma penyelidikan itu, Indeks Pembelian Pengilang Rasmi China (PMI) berkembang untuk bulan kedua berturut-turut pada April, walaupun pertumbuhan melambat sedikit berbanding bulan Mac.
Katanya, Indeks PMI pembuatan Caixin/S&P Global turut menunjukkan sentimen optimis yang sama, meningkat kepada 51.4 daripada 51.1 pada bulan Mac.
"PMI adalah penunjuk ekonomi utama yang mencerminkan kesihatan sektor pembuatan suatu negara. PMI melebihi 50 menunjukkan pengembangan, manakala bacaan di bawah 50 menunjukkan penyusutan.
"Oleh itu, apabila PMI China meningkat, ia menandakan bahawa sektor pembuatan di China sedang berkembang, yang boleh mempunyai implikasi positif ke atas Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut TA Securities, peningkatan dalam PMI China menunjukkan bahawa kilang-kilang di Republik itu sedang meningkatkan pengeluaran.
"Pengembangan ini biasanya membawa kepada lebihan barang yang tersedia untuk dieksport. Apabila kilang-kilang China memerlukan lebih banyak bahan mentah, ini mungkin merangsang aktiviti ekonomi di negara-negara yang membekalkan input ini, termasuk Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Dagangan Malaysia meningkat 12.1% kepada RM221.7 bilion pada April 2024, eksport naik 9.1% cecah RM114.7 bilion - DOSM
"Melihat prospek pembuatan yang kukuh di China, perniagaan di Malaysia mungkin lebih cenderung untuk melabur dalam memperluaskan kapasiti mereka sendiri, meningkatkan lagi jumlah import dari China.
"Kami meramalkan pertumbuhan masing-masing sebanyak 4.8% dan 4.7% dalam eksport dan import Malaysia pada tahun 2024. Kami akan membuat penyesuaian semasa yang diperlukan dengan kami terus memantau ketegangan antara China dan AS/Eropah dan kemajuan ekonomi China," jelasnya.
Sementara itu, menurut TA Securities, Singapura, China, dan Amerika Syarikat kekal sebagai penyumbang utama kepada eksport Malaysia pada bulan April 2024.
"Bersama-sama, ketiga-tiga negara tersebut menyumbang sebanyak 39.7% daripada jumlah eksport Malaysia, mengukuhkan kedudukan mereka sebagai negara destinasi utama untuk eksport Malaysia," ujarnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam melaporkan jumlah dagangan Malaysia meningkat 12.1% kepada RM221.7 bilion pada April 2024 berbanding RM197.8 bilion setahun sebelumnya.
DOSM yang melaporkan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia berkata, peningkatan ini dipacu oleh kenaikan import 15.6% yang mencecah RM107.0 bilion dan eksport 9.1%, mencecah RM114.7 bilion.- DagangNews.com








