Daftar perniagaan percuma untuk golongan B40, pelajar IPT di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Daftar perniagaan percuma untuk golongan B40, pelajar IPT di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu

Orang ramai mengunjungi gerai pameran perkhidmatan kerajaan sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. - Gambar BERNAMA

KUALA NERUS 3 Jun - Pendaftaran perniagaan secara percuma, mudah dan pantas menerusi Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP), antara kelebihan ditawarkan di reruai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Terengganu yang bermula hari ini hingga Sabtu.

 

Pengurus Seksyen Operasi SSM, Terengganu Suzana Zamani berkata, SPPP merupakan inisiatif untuk membantu usahawan golongan B40 dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa untuk mendaftar perniagaan secara percuma dengan tawaran selama satu tahun. 

 

Suzana berkata, syarat permohonan SPPP bagi golongan B40 adalah  mereka yang tidak mempunyai perniagaan aktif dan menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN2.0) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), dan butiran pengesahan perlu dibawa ke reruai untuk proses pendaftaran. 

 

"Bagi pelajar IPT pula mereka perlu membawa surat pengesahan daripada pihak universiti untuk sahkan status mereka sebagai pelajar sepenuh masa," katanya kepada Bernama pada program Jelajah AKM di Kompleks Sukan Terengganu di sini, hari ini. 

 

Dalam pada itu, Suzana menyarankan orang ramai terutamanya peniaga agar tidak melepaskan peluang hadir ke program Jelajah AKM khususnya ke reruai SSM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perniagaan mereka, menurut Bernama.

 

"Sekiranya mereka belum lakukan pengaktifan user ezbiz, mereka juga boleh hadir ke reruai SSM di karnival ini. Kami juga boleh membantu mereka daripada A hingga Z. Di karnival ini, mereka akan lebih mudah berurusan (proses pengaktifan) berbanding di pejabat SSM," katanya. 

 

Beliau berkata, SSM akan berada di reruai bernombor K20 iaitu di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula hari ini hingga Sabtu iaitu dari 2 petang hingga 6 petang pada 3 Jun (esok), dan pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari pada 4 Jun. - DagangNews.com