Cypark, Abu Dhabi Future Energy bekerjasama bangunkan projek solar 1GW | DagangNews Skip to main content

Cypark, Abu Dhabi Future Energy bekerjasama bangunkan projek solar 1GW

Datuk Ami Moris dan Abdulla Zayed bertukar dokumen MoU di Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis - Cypark Resources Berhad telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia.

 

Kerjasama tersebut dianggarkan sebanyak 1 gigawatt (GW) projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan merupakan tambahan penting kepada MoU MIDA-Masdar 10GW yang ditandatangani pada Oktober 2023.

 

Cypark dalam satu kenyataan media hari ini berkata kerjasama terbaharu ini mengukuhkan lagi komitmen kedua-dua entiti untuk memajukan landskap tenaga boleh diperbaharui Malaysia.

 

Menekankan inovasi, kumpulan itu berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada teknologi canggih, termasuk solar terapung, solar atas tanah, solar atas bumbung, hidro dan sistem hibrid. Penekanan ini bertujuan untuk memastikan rumusan tenaga yang pelbagai dan cekap.

 

“Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama secara aktif dalam pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) untuk meningkatkan kestabilan grid dan mengoptimumkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

 

Pengerusi Lembaga Pengarah Cypark, Datuk Ami Moris berkata Cypark berharap untuk bekerjasama dengan Masdar, menyelaraskan pengalaman gabungan dengan usaha global untuk beralih kepada masa depan rendah karbon.

 

"Sebagai pengeluar solar dan sisa kepada tenaga yang terkemuka di Malaysia, kami teguh dalam mengembangkan ekosistem tenaga boleh diperbaharui di Malaysia,” katanya.

 

 

Datuk Ami Moris
Datuk Ami Moris

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi berkata pihaknya berbangga dapat mengukuhkan sokongan syarikat terhadap cita-cita tenaga boleh diperbaharui Malaysia dengan kerjasama terbabit.

 

“Sebagai perintis tenaga bersih dengan pengalaman lebih 17 tahun dalam melaksanakan projek tenaga boleh diperbaharui dan bersih secara berskala, kami berharap dapat membantu membina kapasiti tenaga boleh diperbaharui Malaysia dengan perjanjian ini untuk menyokong sasaran sifar bersihnya,” ujar beliau. - DagangNews.com