Cuaca panas di Asia Tenggara pacu peningkatan permintaan minuman ringan F&N, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Cuaca panas di Asia Tenggara pacu peningkatan permintaan minuman ringan F&N, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - Cuaca panas akibat El Nino di Asia Tenggara dijangka menjadi pemacu kepada peningkatan permintaan minuman ringan Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N).

 

MIDF Research berkata, cuaca ekstrem akan mendorong pengguna untuk mencari pilihan minuman yang menyegarkan dan mudah untuk kekal terhidrat.

 

"Kami meramalkan bahawa F&N akan menjadi penerima manfaat utama daripada kesan gelombang haba di seluruh rantau Asia Tenggara disebabkan kekuatan jenamanya dalam industri makanan dan minuman (F&B).

 

"Berdasarkan Indeks Perkhidmatan Runcit, F&N berada di kedudukan teratas dari segi minuman teh sedia diminum, minuman ringan berkarbonat, susu sejat dan susu pekat manis di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) telah mengeluarkan amaran gelombang haba untuk 14 wilayah (terutamanya negeri terjejas seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Sarawak, dan Sabah) di seluruh negara, dengan suhu antara 35°C hingga 37°C, malah mencapai 40°C di sesetengah kawasan.

 

minuman

 

Sementara itu, Vietnam mengisytiharkan darurat pada 6 April 2024, disebabkan suhu tinggi yang luar biasa mengeringkan seluruh sawah di bahagian selatan negara itu.

 

Begitu juga di Filipina, ratusan sekolah terpaksa ditutup apabila suhu harian melebihi 42°C.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil kumpulan pada 2QFY24 dan 3QFY24 akan dirangsang oleh peningkatan permintaan untuk produknya bukan sahaja di negara operasi utama seperti Thailand dan Malaysia tetapi juga melalui eksport di seluruh Asia Tenggara, memandangkan cuaca ekstrem.

 

Katanya, kesan El Nino semasa di seluruh rantau SEA dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei 2024 sebelum La Nina melanda antara Jun hingga September ini.

 

MIDF Research kekal positif terhadap prospek FY24 kumpulan disokong permintaan kukuh daripada segmen minuman ringan kesan daripada cuaca panas, kehadiran semula pelancong di Thailand dan Malaysia selain kos input bahan mentah yang lebih rendah dan kesan peralihan pilihan pengguna Malaysia terhadap jenama tempatan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM37.00 berbanding RM33.50 sesaham," katanya.- DagangNews.com