CTOS rayu keputusan mahkamah tiada kuasa beri skor kredit, melangkaui fungsi | DagangNews Skip to main content

CTOS rayu keputusan mahkamah tiada kuasa beri skor kredit, melangkaui fungsi

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Mac - CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) yang diarah membayar pampasan RM200,000 kepada pengarah sebuah resort susulan penarafan kredit yang tidak tepat telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

 

Selain pampasan kepada plaintif, unit CTOS Digital Berhad juga didapati tidak mempunyai kuasa perundangan untuk merumuskan skor kredit seseorang untuk pelanggannya. 

 

CTOS Digital Berhad dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia berkata, unitnya itu telah dinasihatkan bahawa terdapat asas untuk rayuan dan Notis Rayuan telah difaikan kepada Mahkamah Rayuan.

 

Hakim Datuk Akhtar Tahir dalam penghakimannya baru-baru ini berkata, tiada peruntukan di dalam Akta Agensi Penerbitan Kredit (CRAA) 2010 yang memberikan kuasa kepada CTOS untuk merumuskan skor kredit kerana mereka hanya diberi kuasa sebagai penyimpan maklumat kredit yang boleh diakses pelanggannya.

 

Hakim itu berkata, peranan utama CTOS ialah mengumpul, merekod dan menyimpan maklumat yang diterima serta diberikan kuasa untuk menyebarkan maklumat tersebut kepada pelanggannya termasuk institusi kewangan.

 

Memetik laporan media, Mahkamah Tinggi juga mendapati CTOS telah melanggar kewajipan untuk berjaga-jaga terhadap Suriati Mohd Yusof, 43, dan melangkaui fungsi-fungsi ia didaftarkan.

 

"Ini telah mengakibatkan plaintif mengalami kerugian. Mahkamah telah membataskan pampasan yang diberikan untuk kerugian peribadi yang dialaminya. 

 

"Reputasi plaintif serta hubungan beliau dengan suaminya telah rosak akibat kecuaian dan pelanggaran kewajipan fidusiari oleh defendan.

 

"Oleh itu mahkamah membenarkan tuntutan plaintif dan memberikan ganti rugi sebanyak RM200,000. Mahkamah turut memberikan kos sebanyak RM50,000 kepada plaintif," katanya.

 

Plaintif, yang merupakan pengarah dan pemegang saham Keranji Beach Resort Sdn Bhd di Pulau Perhentian, Terengganu ketika kejadian, telah menyaman CTOS atas dakwaan cuai dan melanggar kewajipan fidusiari dengan memberikan penarafan kredit yang tidak tepat sehingga menyebabkan wanita itu mengalami kerugian secara peribadi dan dalam perniagaan, selain telah merosakkan reputasinya.

 

Menurut plaintif, pada Mei 2019 susulan laporan negatif defendan, permohonan pinjaman kereta beliau telah ditolak dan selepas disiasat, beliau mendapati defendan telah memberikan penarafan kredit yang negatif kepadanya.

 

Akhtar juga berkata meskipun CTOS boleh berbuat demikian, ia telah memilih untuk tidak menghiraukan dakwaan plaintif bahawa ia tidak menyediakan maklumat yang tepat mengenai wanita itu.

 

“Dengan memilih untuk bersikap acuh tak acuh walaupun selepas dimaklumkan oleh plaintif, defendan jelas telah melanggar kewajipan untuk berjaga-jaga terhadap plaintif,” jelas hakim itu.- DagangNews.com