CREST, MAIA, AMMI lancar geran RM30 juta pacu pembangunan bakat menepati keperluan industri | DagangNews Skip to main content

CREST, MAIA, AMMI lancar geran RM30 juta pacu pembangunan bakat menepati keperluan industri

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Hanafi Sakri (dua dari kiri) turut hadir menyaksikan pemeteraian MoU tiga pihak yang ditandatangani oleh Naguib Mohd Nor (kiri), Jaffri Ibrahim dan Andy Lee Kuan Min (tiga dan empat dari kiri)
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac - Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST), bersama Persatuan Aeroangkasa Malaysia (MAIA) dan Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI), melancarkan geran peningkatan kemahiran bernilai RM30 juta bagi industri aeroangkasa dan peranti perubatan.

 

CREST dalam satu kenyataan media hari ini berkata, mereka juga telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan bakat yang menepati keperluan industri bagi memenuhi permintaan pesat di dalam sektor bernilai tinggi.

 

Geran tersebut dirancang untuk dilaksanakan di dalam tempoh setahun, merangkumi empat program yang direka bagi menyasarkan aspek penting pembangunan bakat dalam industri, menurut agensi penyelidikan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu.

 

Ia dirangka bagi melatih dan menempatkan rakyat Malaysia yang menganggur, untuk dilengkapkan dengan kemahiran teknikal yang diperlukan oleh pekerjaan di dalam kedua-dua industri itu.

 

Selain itu, geran tersebut akan memperkukuhkan keupayaan teknikal institusi pendidikan dalam kedua-dua sektor, sejajar dengan keperluan industri, termasuk pembangunan modul kurikulum pembelajaran dan latihan khusus.

 

 

(Dari kiri) Pengarah Urusan AMMI, David Jones; Datuk Hanafi Sakri; Naguib Mohd Nor; Jaffri Ibrahim; Andy Lee Kuan Min; dan Naib Pengerusi AMMI, Samuel Pooranakaran.
(Dari kiri) Pengarah Urusan AMMI, David Jones; Datuk Hanafi Sakri; Naguib Mohd Nor; Jaffri Ibrahim; Andy Lee Kuan Min; dan Naib Pengerusi AMMI, Samuel Pooranakaran.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Jaffri Ibrahim menyatakan bahawa kerjasama strategik itu diamanahkan untuk memupuk kumpulan bakat yang mantap dan penting bagi pertumbuhan serta daya saing industri aeroangkasa dan peranti perubatan. 

 

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja memperkukuhkan keupayaan industri tetapi juga mengukuhkan rakyat Malaysia merentasi pelbagai latar belakang sosio-ekonomi, memupuk perpaduan sosial dan kemakmuran negara.

 

“CREST berharap perkongsian strategik bersama MAIA dan AMMI akan terus kukuh bagi memperkasa sektor industri dan individu dengan set kemahiran yang diperlukan untuk meningkatkan daya saing Malaysia, mencapai pertumbuhan mampan dan maju ke arah negara berpendapatan tinggi,” tambahnya.

 

Sementara itu, Presiden MAIA, Naguib Mohd Nor berkata, geran terbabit akan membantu mempercepatkan pembangunan bakat masa depan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam sektor yang berkembang maju.

 

Pengerusi AMMI, Andy Lee Kuan Min pula berkata,  bakat mahir yang tepat akan membantu pembinaan saluran bakat dan dapat menarik pelabur teknologi perubatan global yang berpotensi sambil memperkasakan ekonomi. 

 

“Kami percaya kerjasama strategik dengan CREST ini bakal meningkatkan lagi usaha kami untuk memiliki tenaga kerja mahir dan diperkasakan bagi menyokong pertumbuhan industri peranti perubatan,” tambahnya. - DagangNews.com