KUALA LUMPUR 3 April - Continental Tyre Malaysia melancarkan 'Total Confidence Plan (TCP)' sebagai program waranti tambahan dan ganjaran e-dompet untuk mereka yang bercadang untuk membeli tayar baharu jenama tersebut.
Pelan tersebut adalah satu pakej waranti tambahan dan servis menyeluruh bagi memenuhi keperluan pelanggan.
TCP terdiri daripada perlindungan bahaya jalan raya untuk 12 bulan pertama, penggantian tayar 1 kepada 1, dan aplikasi mudah alih yang senang digunakan sebagai saluran penyelesaian dan tuntutan sehenti.
Bagi menambahkan lagi keyakinan pemandu, terdapat lebih daripada 100 pengedar mengambil bahagian dalam program ini di seluruh negara.
Pengarah Urusan Continental Tyres Malaysia, Andrea Somorova berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat melancarkan versi TCP yang telah dinaiktaraf yang menawarkan perlindungan waranti tambahan untuk pemandu.
Katanya, ia tiba pada masa yang tepat iaitu menjelang sambutan raya ketika para pemandu sedang sibuk membuat persiapan balik kampung untuk beraya bersama-sama keluarga.
"Program TCP Continental adalah berkekalan dan kami berharap para pengguna dan pemandu kami akan mengambil peluang ini untuk mendaftar bagi mendapatkan perlindungan tambahan dan ketenangan minda," katanya dalam kenyataan hari ini.

TCP boleh diakses di hujung jari mereka yang mana pemandu boleh mendaftar dan memfailkan tuntutan pada bila-bila masa, tidak kira di mana sahaja.
Pertama sekali, pemandu perlu memuat turun aplikasi Conti TCP yang boleh didapati di Apple App Store atau Google Play Store dan mereka hanya perlu mendaftar butiran peribadi dan memuat naik invois rasmi.
Semasa pendaftaran tayar dalam aplikasi Conti TCP, pemandu dikehendaki mengimbas kod bar pada dinding tepi bahagian bawah tayar sebelum pemasangan.
Selepas mereka menerima waranti semasa dan tempoh tawaran, ia bermakna pendaftaran itu telah lengkap, dan pemandu boleh menikmati 12 bulan pertama Total Confidence Plan dengan Continental.
Mulai hari ini hingga 30 Jun 2023, beli minimum dua tayar jenama Continental di mana-mana pengedar yang mengambil bahagian di seluruh negara atau di kedai Shopee rasmi Continental untuk menebus baucar e-dompet Touch 'n Go melalui aplikasi Conti TCP. - DagangNews.com








