KUALA LUMPUR 14 Mac - Capital Markets Malaysia (CMM), syarikat bersekutu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), telah melancarkan program kepimpinan eksekutif, Elevate Programme untuk membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengumpul dana melalui pasaran modal dan bersedia untuk peringkat pertumbuhan seterusnya.
Dengan sokongan SC dan Bursa Malaysia, program itu meletakkan asas untuk perniagaan memenuhi keperluan tadbir urus dan mempersedia organisasi untuk mengumpul dana menerusi pasaran modal.
Ia juga membantu kepimpinan syarikat untuk menerapkan pemikiran inovasi, bagi mengukuhkan model perniagaan mereka dan belajar menyatakan visi pertumbuhan, kata CMM dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas perkara tersebut, Pengerusi Eksekutif SC dan Pengerusi CMM, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin menekankan kepentingan PKS kepada ekonomi Malaysia dan terdapat keperluan untuk menangani jurang penawaran dan permintaan dalam pembiayaan.
Beliau menambah bahawa pasaran modal berada di kedudukan yang baik untuk memupuk keyakinan pelabur dan menarik modal bagi menyokong pertumbuhan perniagaan kecil berpotensi tinggi yang selanjutnya.
“Elevate Programme CMM dirangka untuk memenuhi keperluan perniagaan yang ingin meningkatkan, mengumpul modal atau memulakan perjalanan tawaran awam permulaan (IPO) mereka.
“Berlatarbelakangkan pasaran global yang semakin kompetitif, matlamat kami adalah untuk mempercepatkan kemajuan PKS Malaysia dengan pertumbuhan tinggi,” tambahnya.

Diperkenalkan pada 2020 untuk syarikat pertengahan (MTC) yang bersedia untuk memasuki pasaran modal, CMM telah memperluaskan kriteria kelayakan Elevate Programme untuk meluaskan jangkauan dan keberkesanannya.
Selain itu, reka bentuk program dipertingkat agar peningkatan nilai bagi lebih banyak PKS dan MTC untuk memperoleh nilai yang besar daripada program tersebut.
Program ini merangkumi bidang tumpuan penting termasuk pemikiran reka bentuk, penjenamaan, dan strategi pemasaran serta pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Pencapaian ketara syarikat yang mengorak langkah ke arah pasaran modal daripada Elevate Programme termasuk ICT Zone Sdn Bhd, yang berjaya memasuki pasaran LEAP pada 2020 dan menyasarkan untuk beralih ke pasaran ACE menjelang 2025.
Tahun ini, Elevate Programme meulakan kohort pertama pada Mei dan penyertaan bagi setiap kohort adalah terhad kepada 15 MTC dan PKS Malaysia berkelayakan. Permohonan dibuka sehingga 8 April 2024. - DagangNews.com







