CMCF sahut seruan untuk kawal selia kendiri pempengaruh | DagangNews Skip to main content

CMCF sahut seruan untuk kawal selia kendiri pempengaruh

Oleh Mediha Mahmood

SEBAGAI maklum balas terhadap seruan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang menggesa pempengaruh untuk mengamalkan kawal selia kendiri dan menerbitkan kandungan dengan bertanggungjawab, CMCF ingin menekankan kepentingan untuk menerapkan amalan beretika dan berhemah dalam menghasilkan sebarang kandungan.

 

Kami sedar akan impak besar pempengaruh dalam ekosistem pengiklan dan penciptaan kandungan dan kami amat hargai sumbangan mereka dalam industri yang kian membangun ini.

 

Sebagai pendukung kuat pengawalseliaan kendiri, CMCF menyokong penuh gesaan Menteri agar pempengaruh memikul tanggungjawab sendiri dalam mencipta kandungan yang menarik dan dalam masa yang sama bertanggungjawab dan beretika.

 

Ia merangkumi pematuhan pada garis panduan lengkap yang terdapat dalam Kod Kandungan seperti mematuhi piawaian pengiklanan yang telah ditetapkan, termasuklah peraturan penting seperti ketelusan dalam berkongsi kandungan yang dibayar.

 

Pengawalseliaan kendiri adalah tunjang utama kami di CMCF dan ia selari dengan keadaan semasa di seluruh dunia di mana industri dan komuniti diberi kepercayaan dan diperkasakan untuk mengawal selia amalan masing-masing berdasarkan piawaian yang ditetapkan.

 

Dengan Kod Kandungan sebagai tonggak, kami melaksanakan mekanisme akauntabiliti yang mantap, melibatkan Biro Aduan, bagi memastikan pemain industri patuh pada dasar yang telah dipersetujui dan ditetapkan.

 

 

parafrasa

 

 

CMCF akan terus berganding bahu dengan kerajaan dan pempengaruh ke arah penciptaan kandungan yang bertanggungjawab dan memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

 

Untuk mencapai matlamat ini, kami menyahut seruan pempengaruh agar Kod Kandungan dipermudahkan dalam satu panduan tambahan khas untuk golongan pempengaruh.

 

Justeru, kami sedang membangunkan ‘Buku Panduan Pempengaruh,’ dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk para pempengaruh dan Key Opinion Leaders (KOL). Buku panduan ini akan menjadi garis panduan ringkas sebagai rujukan mudah bagi pempengaruh untuk mendapat penjelasan dan pemahaman terhadap peraturan yang termaktub dalam Kod Kandungan.

 

Pada separuh kedua 2024, kami akan melancarkan Request for Commment (RFC)  (Permohonan Ulasan) daripada pempengaruh untuk memastikan pandangan mereka menjadi teras dalam penghasilan dokumen yang komprehensif dan mudah difahami kelak.

 

Melalui penglibatan aktif pempengaruh dalam pembikinan buku panduan ini, kami berazam untuk menerbitkan satu sumber rujukan yang selari dengan keperluan mereka dan  memudahkan pematuhan terhadap garis panduan beretika.

 

Dalam membuat dasar, tunggak falsafah kami ialah keterlibatan pelbagai pihak yang berkepentingan. Kami percaya bahawa mereka yang terkesan dengan polisi harus mempunyai suara dalam pembikinannya.

 

Justeru, kami membuka pintu seluas-luasnya kepada pempengaruh dan pemegang taruh untuk menyertai CMCF dalam menyumbang buah fikiran dalam perbincangan dasar dan termaklum dengan amalan terbaik.

 

 

cmcf

 

 

Keselamatan Kanak-Kanak Dalam Talian

Berkenaan kenyataan Menteri yang menggesa ibu bapa untuk memantau kandungan media sosial yang terdedah kepada anak-anak mereka, CMCF giat menumpukan tenaga dalam menggalakkan literasi digital dan kelakuan berhemat dalam talian, terutamanya kandungan berkaitan kanak-kanak.

 

Bukan itu sahaja, kesedaran dan pemerkasaan ibu bapa juga penting dalam melindungi kanak-kanak daripada kandungan yang berisiko. Dalam usaha mencapai matlamat ini, kami menggalakkan perbincangan bersama kanak-kanak dengan nada yang sesuai dengan usia mereka untuk meningkatkan kesedaran tentang kandungan berbahaya dan memastikan mereka selamat di alam maya.

 

Untuk memperkukuh Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian di Malaysia, kami menyarankan usahasama antara semua pihak bagi pembangunan rangka kerja yang lengkap dan pelan tindakan kebangsaan yang merangkumi tindakan undang-undang, kempen kesedaran dan kerjasama dengan syarikat teknologi.

 

Kami percaya bahawa pendekatan melibatkan pemegang taruh yang pelbagai termasuklah ibu bapa, pendidik dan kanak-kanak adalah mustahak dalam mencipta rangka kerja yang terangkum dan berkesan.

 

Kami menjemput semua pempengaruh, ibu bapa dan masyarakat untuk menyertai CMCF dalam inisiatif pembentukan dasar dan terus termaklum tentang amalan terbaik tentang semua jenis kandungan. - DagangNews.com

 

Mediha Mahmood adalah Ketua Pegawai Eksekutif CMCF