CITF, Facebook Malaysia lancarkan kempen maklumat sahih COVID-19 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CITF, Facebook Malaysia lancarkan kempen maklumat sahih COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 April - Bersempena sambutan Minggu Imunisasi Sedunia, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Facebook Malaysia melancarkan satu siri kempen baharu untuk menyediakan maklumat sahih mengenai vaksin pandemik itu, 

 

Ini bertujuan mengukuhkan usaha pendidikan bagi meningkatkan keyakinan terhadap vaksin berkenaan, selain meluaskan usaha untuk menyingkirkan dakwaan-dakwaan palsu di platform-platform media sosial mengenai COVID-19 dan vaksin tersebut. 

 

Menurut kenyataan bersama CITF dan Facebook Malaysia, insiatif tersebut akan menumpukan kepada usaha serampang tiga mata iaitu menangani maklumat salah, menghubungkan orang ramai kepada maklumat yang tepat dan sahih serta menyokong pelancaran vaksinasi COVID-19. 

 

“Melalui kerjasama rapat dengan CTIF dan dengan menggunakan skala serta kepantasan kami untuk menjangkaui orang ramai, kami memainkan peranan untuk mendidik orang awam dan menyediakan akses kepada maklumat sahih demi membantu membina kepercayaan dan menggalakkan lebih ramai orang untuk datang ke hadapan, mendaftar dan menerima vaksin COVID-19,” kata Pengarah Interim Negara, Facebook Malaysia, Justin Murugaya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Facebook kini sedang menjalankan kempen terbesar seluruh dunia bagi mempromosikan maklumat vaksin COVID-19 yang sahih untuk membantu orang ramai mengetahui di mana mereka boleh divaksin, menyingkirkan dakwaan-dakwaan palsu mengenai COVID-19 dan vaksin di platform-platformnya. 

 

Selain itu, kempen itu juga bertujuan menolong orang ramai mengesan dan mengurangkan penyebaran maklumat salah dalam komuniti mereka.

 

Di peringkat global, Facebook telah mengambil langkah agresif untuk mengeluarkan maklumat salah yang berbahaya mengenai COVID-19 dan vaksin. 

 

Sewaktu pandemik, Facebook telah mengeluarkan 12 juta cebisan maklumat salah yang berbahaya mengenai COVID-19 dan vaksin yang diluluskan daripada platform-platformnya. 

 

Mereka juga telah meletakkan label amaran kepada lebih 167 juta hantaran sebagai palsu oleh penyemak fakta pihak ketiga. 

 

Apabila orang ramai melihat label amaran berkenaan, mereka tidak meneruskan untuk melihat kandungan asal dalam kira-kira 95% daripada situasi tersebut.

 

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menyambut baik mengalu-alukan sinergi kerjasama sektor awam-swasta seperti dengan Facebook Malaysia untuk menyebarkan kesedaran dan menghubungkan orang ramai dengan maklumat sahih dan boleh dipercayai mengenai vaksin COVID-19. 

 

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

 

“Ramai yang masih dalam peringkat ‘tunggu dan lihat’ untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi dan mereka juga cenderung memilih berita dalam talian serta media sosial untuk mendapat dan berkongsi maklumat dengan keluarga serta rakan. 

 

“Ini akan menyumbang kepada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). 

 

“Kejayaan PICK adalah kritikal dalam memastikan pemulihan ekonomi negara bergerak lebih pantas, khususnya apabila aktiviti sosial dan ekonomi dapat diberi kelonggaran dan dibuka semula,” katanya.

 

Malaysia telah memulakan PICK pada Februari 2021, dan negara kini sedang memasuki Fasa 2 program tersebut. - DagangNews.com