KUALA LUMPUR 1 Dis - Institut Kewangan Islam Profesional Bertauliah (CIIF), sebagai wakil Panel Pentadbiran Piagam Profesion Kewangan Islam memeterai perjanjian kerjasama dengan Bank Pusat Djibouti dan memorandum persefahaman (MoU) dengan Salaam Center.
Kerjasama itu menjadikan bank pusat tersebut sebagai ahli terbaharu Piagam Profesion Kewangan Islam serta menjalinkan kerjasama strategik melalui pengendalian program kelayakan Profesional Bertauliah dalam Kewangan Islam (CPIF) di negara ini.
Kedua-dua majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Djibouti City, bersempena dengan Forum Perniagaan dan Pelaburan Djibouti-Malaysia, sebuah acara yang dianjurkan oleh Agensi Promosi Pelaburan Kebangsaan Djibouti.
Ketua Pegawai Eksekutif CIIF, Dr Azura Othman yang juga wakil Panel Pentadbiran Piagam berkenaan dan Gabenor Bank Pusat Djibouti, Ahmed Osman Ali hadir pada majlis menandatangani perjanjian tersebut.
Azura berkata, perjanjian itu menandakan tahap penanda aras baharu bagi profesion dan industri kewangan Islam, kerana Bank Pusat Djibouti ialah ahli antarabangsa pertama bagi Piagam Profesion Kewangan Islam yang ditubuhkan sejak 2015.
Beliau berkata, penambahan terbaharu Bank Pusat Djibouti sebagai ahli piagam adalah satu penghormatan dan akan menyumbang dengan ketara ke arah profesionalisasi profesion kewangan Islam, terutamanya di rantau Afrika Timur.
Katanya, ia juga menyokong segala usaha CIIF dalam pembinaan kapasiti, serta membangunkan tenaga kerja yang cekap dan dinamik di peringkat antarabangsa.

"Kita sedang menyaksikan suatu detik penting dalam pencapaian, yang bukan sahaja untuk CIIF, tetapi seluruh industri dan profesion kewangan Islam di peringkat global.
"Perjanjian ini membuka ruang sebagai laluan bagi CIIF untuk terus maju ke hadapan serta meneroka peluang untuk membangunkan bahagian antarabangsa melalui kerjasama dengan entiti atau persatuan kerajaan antarabangsa yang akhirnya akan ditempatkan sebagai badan profesional negara mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Pada acara sama di Djibouti City, CIIF turut menandatangani serta bertukar MoU dengan Salaam Center untuk mempromosikan serta mengendalikan Program Kelayakan Chartered Professional dalam Kewangan Islam (CPIF) kepada bakat-bakat berpotensi di negara ini dan rantau Afrika Timur.

Azura berkata, pemeteraian MoU itu bertepatan pada masanya kerana keperluan untuk bakat kewangan Islam di peringkat global, khususnya di Djibouti dan Afrika Timur telah meningkat untuk memenuhi keperluan ekonomi dan perindustrian di situ.
"Ini sejajar dengan tujuan utama CIIF dan Salaam Center, iaitu untuk meningkatkan pembinaan kapasiti di negara ini dan Afrika Timur secara keseluruhan, serta membangunkan dan mempromosikan modal insan berkualiti dengan menambah nilai dan pengetahuan dalam kalangan bakat," katanya. - DagangNews.com








