KUALA LUMPUR 8 Jun - CGS-CIMB Research mengunjurkan untung bersih Malayan Banking Berhad (Maybank) adalah sekitar RM2.3 bilion hingga RM2.4 bilion pada suku kedua 2023 mengatasi paras yang dicapai tiga suku tahun lepas.
Firma itu berkata, pada tiga suku tahun sebelum ini kumpulan itu meraih RM2.17 bilion masing-masing pada suku ketiga dan suku keempat 2022 serta RM2.27 bilion pada suku pertama tahun ini.
Katanya, di sebalik kenaikan 25bp dalam kadar dasar semalaman (OPR) pada 3 Mei lalu, firma itu menjangkakan pemulihan suku tahun ke suku tahun dalam margin faedah bersih (NIM) Maybank pada separuh kedua 2023 (dari tahap 2.19% pada suku pertama), yang akan menjadi pemangkin utama kepada Maybank dan sektor perbankan.
"Sekiranya berjaya direalisasikan, untung bersih pada suku kedua 2023 adalah antara 24% hingga 29%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023, Maybank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.27 bilion, peningkatan 10.7% daripada RM2.05 bilion pada suku yang sama tahun lepas.
Hasil meningkat 29.5% kepada RM14.78 bilion daripada RM11.42 bilion pada suku perbandingan.
Pada masa sama, firma itu melihat potensi kelembapan dalam pertumbuhan pinjaman kumpulan itu di Malaysia pada akhir Jun 2023 berbanding kadar 5.4% pada akhir Mac tahun ini.
Ini adalah berdasarkan aliran menurun dalam momentum pinjaman industri dan kira-kira 12.7% penurunan dalam permohonan dan kelulusan pinjaman pada April lalu.
"Bagaimanapun, kami berpendapat kesan positif daripada pengembangan NIM akan mengatasi kesan negatif daripada pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan, yang membawa kepada kemungkinan kenaikan suku tahun ke suku tahun dalam pendapatan faedah bersih separuh kedua tahun ini (daripada paras RM3.23 bilion pada separuh pertama 2023)," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM10.30 lebih tinggi berbanding RM8.58 sesaham. - DagangNews.com








