KUALA LUMPUR 14 Jun - CGS-CIMB Research menjangkakan Sunway Berhad menjadi lebih agresif dalam melancarkan projek hartanah baharu pada tahun ini dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.5 bilion berbanding RM1 bilion pada tahun lalu.
Firma itu berkata, ia dipacu oleh dua projek kondominium baharu di Singapura.
Katanya, pada suku pertama tahun ini, kumpulan itu merekodkan pra jualan hartanah sebanyak RM505 juta dan ia dilihat berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM2.3 bilion pada FY23.
"Pelancaran terbaharu tahun ini kelihatan positif setakat ini, dengan Sunway Flora Residences Bukit Jalil (GDV RM300 juta) mencapai 50% pengambilan, termasuk tempahan, dan Terra Hills Pasir Panjang di Singapura (GDV S$845 juta) menyaksikan 38% pengambilan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, peningkatan sumbangan daripada Sunway Healthcare Group akan membantu mereka mempercepatkan tawaran awam permulaan (IPO) kepada 2025 berbanding 2028.
Katanya, Sunway Healthcare menyumbang 19% kepada keuntungan sebelum cukai kumpulan pada FY22 dan pada masa sama memiliki pelan pengembangan yang jelas.
"Buat mas aini mereka memiliki tiga aset dengan 842 katil dengan 695 katil akan ditambah pada penghujung 2024 di hospital sedia ada," katanya.
Firma itu menyukai kumpulan itu sebagai proksi pelaburan yang pelbagai untuk ekonomi domestik yang teguh dengan francais hartanah dan pembinaannya yang kukuh serta pendedahan yang semakin meningkat kepada penjagaan kesihatan (termasuk pelancongan perubatan).
Risiko utama ialah ekonomi yang perlahan yang akan memberi kesan kepada kebanyakan bahagiannya manakala pemangkin utama ialah jualan hartanah yang lebih kukuh, kejayaan baharu pembinaan yang lebih tinggi yang mungkin datang daripada projek loji janakuasa Vietnam dan IPO perniagaan penjagaan kesihatan yang lebih pantas daripada jangkaan.
Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM2.21 sesaham. - DagangNews.com








