Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Dis - CGS-CIMB meramalkan Lotte Chemical Titan (LCT) akan merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM240 juta pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4Q21), lebih rendah berbanding RM303 juta jangkaan yang dibuat sebelum ini.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, CGS-CIMB berkata, namun unjuran itu masih merupakan peningkatan besar daripada RM51 juta pada 3Q21.
"Kami menganggarkan bahawa untuk bulan Oktober dan November 2021F, sebaran LCT terhadap naphtha berkemungkinan besar pulih daripada paras terendah 3Q21 apabila harga jualan polimer meningkat dari lewat September hingga minggu berakhir 26 November 2021, sebagai tindak balas kepada kos bahan mentah dan tenaga yang lebih tinggi di peringkat global .
"Kami menganggarkan bahawa penyebaran polimer LCT terhadap naphtha boleh pulih kepada AS$608/tan pada 4Q21F disemak lebih rendah daripada anggaran kami sebelum ini sebanyak AS$638/tan, meningkat daripada AS$569/tan pada 3Q21.
"Berdasarkan pengiraan kami, kami menjangkakan keuntungan bersih teras LCT meningkat kepada RM240 juta pada 4Q21F," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Tambahnya, turut menurunkan unjuran keuntungan bersih teras FY22 sebanyak RM236 juta, 79% lebih rendah daripada ramalan FY21 sebanyak RM1,115 juta.
Ini kerana jelasnya, CGS-CIMB telah mengandaikan penurunan 4.5% yoy dalam purata harga jualan dan peningkatan 11% yoy dalam kos bahan naphtha.
"Panggilan 'Tambah' kami ke atas LCT, walaupun meramalkan penurunan 79% yoy dalam keuntungan bersih teras FY22F, harus dilihat dalam konteks harga polimer yang baik untuk 4Q21F dan 1Q22F, yang mungkin mengekalkan tebaran harga berbanding naphtha dan pendapatan suku tahunan LCT yang cukup baik berbanding enam bulan akan datang.
"LCT dijangka mengumumkan dividen akhir pada Mac atau April 2022F sebanyak 24 sen/saham (hasil 10.6% pada harga saham semasa RM2.26) adalah satu lagi sebab untuk panggilan Tambah kami," katanya.
Risiko penurunan kepada LCT yang mungkin timbul adalah daripada persaingan yang semakin sengit daripada pentauliahan loji petrokimia Pengerang. -DagangNews.com








