CGS-CIMB 'potong' unjuran EPS Supermax, Kossan dengan TP disemak lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB 'potong' unjuran EPS Supermax, Kossan dengan TP disemak lebih rendah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 15 Dis - Harga jualan purata (ASP) sarung tangan getah dijangka terus mengalami penurunan berikutan pelan pengembangan yang agresif daripada pengeluar dan juga pembelian yang semakin berkurangan. 

 

Malah, ASP nitril/lateks asli semasa dianggar berada pada paras AS$28 hingga AS$30/AS$23 hingga AS$25 per 1,000 keping berbanding tahap sebelum pandemik, AS$22 hingga AS$24 dan AS$18 hingga AS$20.

 

Bagaimanapun, penganalisis CGS-CIMB Research, Walter Aw menyedari pembeli sarung tangan getah global mengekalkan paras inventori yang rendah susulan penurunan ASP pada AS$26 hingga A$30 dan AS$22 hingga AS$25.

 

"Pada pandangan kami, ASP nitril dan lateks asli ini akan terus menurun, (dianggar kira-kira 3 hingga 5% penurunan setiap bulan) sehingga separuh pertama 2022 ke tahap yang lebih stabil pada AS$26 hingga AS$28 dan AS$23 hingga AS$25, tetapi masing tinggi berbanding sebelum COVID-19," katanya dalam nota kajian mengenai Supermax Corp. Bhd. dan Kossan Rubber Industries Bhd. hari ini.

 

Menurut Aw, Supermax mungkin mengalami penurunan ASP pada kadar yang lebih pantas berbanding pasaran kerana ia telah menjadi 'pendorong' kepada kenaikan ASP lebih tinggi semasa pandemik berbanding pemain lain.

 

Ini disebabkan jualan yang lebih besar daripada tempahan dan sebahagian jualan didorong oleh model pengeluaran jenama sendiri (OBM) yang membolehkan Supermax menikmati margin dagangan dan pengeluaran. 

 

"Namun, dalam persekitaran permintaan bekalan yang lebih seimbang dalam sektor sarung tangan getah, kami berpendapat model OBM ini tidak menyediakan margin yang lebih tinggi berbanding dengan jualan bagi pengeluaran produk tulen (OEM)," jelasnya.

 

Bagi Kossan pula, katanya, ia dijangka kurang berdepan tekanan harga jika dibandingkan dengan pemain industri lain. 

 

Ia berdasarkan kepada pendekatannya yang lebih konservatif berhubung kenaikan ASP ketika pandemik kerana kebanyakan pesanan adalah daripada pelanggan berulang jangka panjang.

 

"Kami anggarkan 20% daripada jualan Kossan ketika sebelum pandemik adalah untuk penggunaan bukan perubatan dan ia turut merendahkan jualan (di bawah 20% ketika pandemik memuncak)," katanya. 

 

Di sebalik prospek yang masih lemah, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Supermax dengan harga sasaran (TP) disemak lebih rendah kepada RM1.30 berbanding RM1.86 sebelum ini. 

 

Kossan pula kekal dengan saranan 'tambah' dengan TP juga lebih rendah pada RM2.20 daripada RM3. 

 

Disebabkan penurunan ASP dan volum jualan lebih rendah, unjuran pendapatan sesaham (EPS) Supermax bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 juga disemak rendah sebanyak 1 hingga 42.6%.

 

Malah, EPS Kossan bagi FY21, FY22 dan FY23 masing-masing juga dikurangkan sebanyak 2.5%, 60.9% dan 30%. 

 

Setakat 11.49 pagi ini, saham Supermax kekal tidak berubah pada RM1.30 manakala Kossan susut 2 sen atau 1.2% kepada RM1.64. - DagangNews.com