CGS-CIMB : Kestabilan persekitaran politik, antara faktor penentu pulihkan kelemahan sentimen pasaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB : Kestabilan persekitaran politik, antara faktor penentu pulihkan kelemahan sentimen pasaran

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Julai - Sentimen pasaran dijangka kekal lemah dengan risiko penurunan pada suku ketiga ini, memandangkan pasaran cuba membuat pelarasan dengan mengambil kira kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), demikian menurut CGS-CIMB Research.

 

Bagaimanapun, pasaran boleh terikat dalam julat dengan potensi peningkatan jika kebimbangan mengenai kenaikan kadar atau risiko kemelesetan AS semakin reda dan telah mengambil kira risiko pendapatan bagi korporat Malaysia. 

 

Katanya, ini boleh menawarkan peluang dagangan kepada pelabur yang mencari tawaran dalam pasaran saham untuk tempoh jangka sederhana.

 

"Kami melihat potensi peningkatan daripada kehadiran semula pekerja asing, ketibaan pelancong yang lebih baik daripada jangkaan, tekanan inflasi semakin berkurangan dan  penyelesaian kepada beberapa kebimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) berkaitan buruh paksa.

 

"Selain itu, ia turut dipengaruhi Belanjawan 2023 yang mesra pasaran dan kecairan tambahan untuk dana institusi domestik seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berikutan berakhirnya skim pengeluaran one-off yang belum pernah berlaku sebelum ini di bawah pakej rangsangan yang diumumkan pada 2020, 2021 dan separuh pertama 2022 berjumlah sekitar RM141 bilion," katanya dalam nota kajian hari ini dalam perspektif syariah. 

 

 

Bursa Malaysia

 

 

Analisis firma penyelikan itu mendapati FBM KLCI susut 7.9% kepada 1,444.2 mata pada separuh pertama 2022, selepas beberapa kali pasaran 'diuji' dengan impak penularan wabak Omicron, perang Rusia-Ukraine, kenaikan harga komoditi, gaji minimum dan kadar faedah AS.

 

Selain itu, syarikat di Malaysia juga berdepan ketidaktentuan akibat masalah kekurangan tenaga buruh dan isu rantaian bekalan. 

 

Indeks penanda aras utama itu mencecah paras tertinggi pada 1,619 mata sekitar 3 Mac lalu, selepas kembali melemah dan mengkahiri separuh pertama dengan berlegar pada 1,444 mata pada 30 Jun 2022.

 

Dalam tempoh itu juga, jumlah dan nilai purata dagangan harian masing-masing susut 58% dan 46% kepada 3.2 bilion unit dan RM2.5 bilion. 

 

Ini secara umumnya sejajar dengan purata nilai dagangan harian sebelum pandemik bagi tempoh 2017 hingga 2019 untuk pasaran ekuiti Malaysia sebanyak RM2.4 bilion.

 

 

sawit

 

 

Oleh itu, secara keseluruhan, CGS-CIMB menjangkakan ketidaktentuan pasaran akan berterusan sehingga separuh kedua ini, dipengaruhi pelbagai faktor terutamanya, kelemahan harga komoditi berikutan kelembapan prospek pertumbuhan global menjejaskan pemain industri minyak sawit, petrokimia dan Press Metal. 

 

"Kami juga menjangkakan jualan yang lebih lemah bagi syarikat berkaitan pengguna disebabkan eksport yang lebih perlahan dan kenaikan kos sara hidup di Malaysia. 

 

"Di samping itu, terdapat kemungkinan berlakunya pengurangan hasil daripada tambahan yuran borong 5G, akan menjejaskan pemain industri telekomunikasi," jelasnya.

 

Namun, firma itu berkata, terhadap kenaikan bagi unjuran hasil pada 2023 ekoran kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas (bps). 

 

"Analisis perbankan kami menganggarkan setiap kenaikan 25 bps akan meningkatkan unjuran untung bersih bagi bank sebanyak 2.1%," katanya.

 

 

BNM

 

 

Menurutnya, penganalisis mungkin menyemak unjuran pendapatan semasa musim kewangan suku kedua/ketiga ini pada Ogos/Nov untuk menggambarkan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan, isu pekerja asing dan dasar kerajaan yang masih kabur berkaitan yuran borong 5G.

 

Sebaliknya, katanya, persekitaran politik yang lebih stabil, jelas dan mampu menentukan hala tuju dasar masa depan berhubung 5G, buruh asing dan projek pembinaan akan merangsang semula sentimen pasaran dan hasil korporat.

 

"Malah, ini juga akan menarik pelabur asing dan tempatan, sekali gus membawa kepada kecairan dan penilaian yang lebih tinggi dalam pasaran ekuiti," jelasnya.

 

Firma itu berpendapat, pelabur institusi tempatan yang kembali membeli ekuiti menjadi pemangkin berpotensi kepada pasaran memandangkan mereka telah menjual ekuiti sejak separuh kedua 2020.

 

Ini disebabkan dasar kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP ketika pandemik, mengakibatkan dana persaraan itu mencairkan sebahagian kedudukannya dalam pasaran ekuiti. 

 

 

oil barrel

 

 

Selain itu, menurut CGS-CIMB, rundingan penyelesaian antara Rusia dan Ukraine untuk menamatkan perang yang berterusan mengakibatkan kelonggaran sekatan perdagangan dan membawa kembali aliran perdagangan global.

 

Ia percaya langkah itu dapat membantu mengurangkan kebimbangan inflasi makanan dan tenaga, sekali gus meredakan kenaikan kadar faedah yang agresif dan jangkaan kemelesetan ekonomi. 

 

"Seterusnya, ini akan membantu meningkatkan margin keuntungan kepada kebanyakan syarikat Malaysia dari semasa ke semasa walaupun negatif untuk sektor komoditi dengan risiko pendapatan masa hadapan yang lebih rendah dan akan menjadi positif untuk pasaran ekuiti," katanya.

 

Pada masa sama, firma itu berkata, penyelesaian kepada kebanyakan isu ESG mengenai dakwaan buruh paksa akan menyaksikan pelabur kembali membeli ekuiti dalam sektor terjejas seperti sarung tangan getah, minyak sawit dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS). 

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan unjuran akhir tahun KLCI pada 1,506 mata dengan pilihan utama saham bagi sektor syariah ialah Bank Islam Malaysia Bhd., Mr DIY Group (M) Bhd. dan Telekom Malaysia Bhd. (TM). - DagangNews.com