CFO Kumpulan FGV dilantik pangku jawatan CEO selepas kontrak Datuk Mohd Nazrul Izam tamat 1 Sept | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CFO Kumpulan FGV dilantik pangku jawatan CEO selepas kontrak Datuk Mohd Nazrul Izam tamat 1 Sept

Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid dilantik Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings. -Gambar FGV
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Sept - Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad berkuat kuasa 1 September 2024.

 

Pelantikan Mohd Hairul, 54, susulan tempoh perkhidmatan Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor, 49, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad telah berakhir pada 1 September 2024.

 

Mohd Hairul juga adalah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO) FGV.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata, Mohd Hairul yang mempunyai kelayakan profesional sebagai seorang akauntan bertauliah akan mengambil alih peranan dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan sehingga diberitahu kelak.

 

"Sebelum menyertai FGV sebagai CFO Kumpulan pada Januari 2019, Mohd Hairul adalah CFO Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd dari Mac 2012 hingga Disember 2018," kata FGV hari ini.

 

fgv

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: FGV kembali catat untung bersih RM86.4 juta pada 2QFY24 dipacu segmen perladangan, logistik serta sokongan

 

Menurut pemakluman itu, Mohd Hairul mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewangan, di mana beliau memulakan kerjayanya di Sime Darby Berhad pada tahun 1994 dan dinaikkan pangkat menjadi Akauntan Kumpulan pada tahun 1997. 

 

"Beliau menyertai Consolidated Plantations Berhad, anak syarikat milik penuh Sime Darby Berhad, sebagai Pengurus Kewangan pada Oktober 2002 sebelum dilantik sebagai Pengawal Kewangan Perladangan pada Jun 2005. 

 

"Mohd Hairul kembali ke Sime Darby Berhad pada Jun 2006 sebagai Pengurus Besar Kewangan dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Bahagian Perladangan pada Jun 2008 dan akhirnya sebagai CFO Bahagian Tenaga & Utiliti sebelum meninggalkan Sime Darby Berhad pada Februari 2012," jelasnya.

 

nazrul
Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor menamatkan perkhidmatan sebagai CEO FGV pada 1 Sept 2024. Gambar fail FGV

 

Mohd Nazrul Izam dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) FGV pada Julai 2021, yang mana sebelum itu beliau adalah CEO Kumpulan FELCRA Berhad sejak 2018. - DagangNews.com