Censof catat rugi bersih RM1.1 juta pada 1QFY24 kesan daripada hasil yang lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Censof catat rugi bersih RM1.1 juta pada 1QFY24 kesan daripada hasil yang lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Censof Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.1 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2023 (1QFY24) berbanding untung bersih RM3.9 juta yang dicatatkan pada suku keempat berakhir 31 Mac 2023 (4QFY23).

 

Kumpulan mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM20.4 juta bagi suku semasa berbanding RM33.76 juta pada suku sebelumnya.

 

Penurunan itu boleh dikaitkan dengan pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada segmen FMS-G pada suku sebelumnya, kerana pembaharuan kontrak penyelenggaraan biasanya berulang pada awal tahun.

 

"Selain itu, hasil daripada segmen DT menurun sebanyak 39.9% sebahagiannya disebabkan oleh kemasukan lesen pembaharuan tahunan yang ketara (berkaitan RPA) dengan Telekom pada suku sebelumnya.

 

"Kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM790,000 juta berbanding keuntungan sebelum cukai pada suku sebelumnya sebanyak RM5.59 juta.

 

"Ia disebabkan oleh hasil yang lebih rendah dan kerugian daripada pelarasan nilai saksama pelaburan jangka pendek pada suku semasa sebanyak RM600,000," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, prospek ekonomi Malaysia untuk 2023 dijangka sederhana berikutan cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global, dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 4.5%, disokong oleh asas ekonomi negara yang kukuh dan pelaksanaan langkah Belanjawan 2023.

 

Katanya, pendigitalan dan penggunaan berterusan 5G, kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) di Malaysia dijangka mewujudkan peningkatan permintaan untuk teknologi penyelesaiannya.

 

"Subsektor maklumat dan komunikasi dijangka terus berkembang diterajui oleh penggunaan digital yang lebih meluas oleh perniagaan dan individu.

 

"Di samping itu, usaha untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam infrastruktur berkaitan digital seperti pusat data dan perkhidmatan pengkomputeran awan bersama-sama dengan lonjakan berterusan aktiviti penstriman dalam talian akan meningkatkan lagi subsektor itu," katanya.- DagangNews.com