KUALA LUMPUR 22 Mac - CelcomDigi Bhd melalui pusat inovasinya melancarkan suasana pembelajaran berasaskan pengalaman pertama di Malaysia yang dikenali sebagai CelcomDigi Metaversity.
Syarikat telekomunikasi itu berkata, ia memanfaatkan rumusan metaverse, realiti lanjutan (XR) dan kecerdasan buatan (AI) serta disokong sambungan 5G dan fiber CelcomDigi untuk pengalaman digital yang optimum.
Katanya, inisiatif itu bakal melonjakkan pembangunan bakat masa hadapan Malaysia yang pakar dalam teknologi baharu berasaskan AI dan memacu inovasi rumusan digital dalam landskap akademik serta perusahaan.
"CelcomDigi Metaversity memberi nafas baharu dalam pendidikan tinggi menerusi aplikasi teknologi canggih seperti metaverse, XR, AI, robotik dan 5G dalam modul pembelajaran maya.
"Ia membolehkan pelajar mengalami sendiri pengalaman pembelajaran digital secara maya dan memperkukuhkan kepakaran teknikal mereka terhadap kemahiran yang tinggi permintaannya ini," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Terdahulu, CelcomDigi Metaversity adalah jalinan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
CelcomDigi dan kementerian turut memeterai memorandum perjanjian (MoA) untuk memacu penggunaan serta pelaksanaan rumusan pembelajaran dan pendidikan metaverse, XR, dan AI yang inovatif di 21 universiti seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, AI sedang mengubah dunia dan Malaysia perlu bersedia.
"Matlamat kami di sini amat jelas iaitu membantu mempercepatkan kesediaan bakat masa depan, di samping meletakkan universiti tempatan sebagai antara institusi pembelajaran tercanggih di rantau ini.
"Dengan memanfaatkan kuasa teknologi 5G, AI, metaverse dan internet kebendaan (IoT), kami boleh meningkatkan cara kami mendidik dan melatih doktor, jurutera, saintis dan juruteknik masa depan kami," katanya. - DagangNews.com







