Cassandra Goh dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Silverlake Axis baharu bermula 1 Januari 2025 | DagangNews Skip to main content

Cassandra Goh dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Silverlake Axis baharu bermula 1 Januari 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Dis - Silverlake Axis Limited mengumumkan pelantikan Cassandra Goh Shiou Ling selaku ketua pegawai eksekutif kumpulan baharu berkuat-kuasa 1 Januari 2025.

 

Cassandra akan menggantikan Andrew Tan Teik Wei yang akan terus menerajui kumpulan itu sehingga Januari 2025. 

 

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif pada Mei 2022 dan Timbalan Pengerusi Eksekutif pada 27 Oktober 2023.

 

Beliau sebelum ini bekerja rapat dengan pasukan pengurusan dan lembaga pengarah dengan memainkan peranan penting dalam semua operasi perniagaan dan inisiatif baharu dalam kumpulan itu.

 

Cassandra telah bersama syarikat selama 10 tahun dan dalam tempoh itu beliau telah menjadi penyumbangutama kepada pasukan pengurusan kanan, lembaga pengarah dan kumpulan itu.

 

Beliau berterima kasih kepada Andrew atas kepimpinan dan pengawasannya di Silverlake Axis selama ini dan menghargai perubahan yang dilakukannya terhadap strategi, struktur dan organisasi kumpulan yang telah meletakkan mereka pada kedudukan yang lebih baik.

 

"Andrew akan terus menerajui Silverlake Axis hingga Januari 2025," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Andrew turut berterima kasih kepada pihak pengurusan atas sokongan padu dan kepercayaan mereka terhadap strategi yang telah membawa kumpulan ke kedudukan lebih baik.

 

"Saya berbesar hati berkhidmat dengan Silverlake Axis dan bagi tempoh enam tahun kebelakangan ini, saya percaya bahawa generasi pengurusan baharu akan membawa kumpulan itu menjadi lebih baik," katanya.- DagangNews.com