KUALA LUMPUR 8 Dis - Capital A Berhad (Capital A) dianugerahkan “Laman Web IR Terbaik” pada IR Magazine Forum & Awards South East Asia 2022 bagi mengiktiraf usaha penjenamaan semula kumpulan itu daripada sebuah syarikat penerbangan kepada sebuah syarikat pegangan pelaburan.
Capital A mengumumkan pertukaran nama untuk bekas syarikat pegangan pelaburan Kumpulan AirAsia awal tahun ini bagi mencerminkan strategi perniagaan teras baharu bagi kumpulan tersebut.
Penjenamaan semula sebagai syarikat pegangan pelaburan dengan portfolio perniagaan perjalanan dan gaya hidup itu pantas mengubah jenama AirAsia menjadi lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan.
Ketua Pegawai Strategi Capital A, Azita Nazrene berkata, ia merupakan satu pengiktirafan atas masa dan usaha untuk memastikan transformasi jenama daripada AirAsia ke Capital A disampaikan kepada semua pihak berkepentingan dalam komuniti pelaburan.
Beliau berkata, mereka percaya pelabur, penganalisis dan pelawat lain ke laman web ini akan dapat mengetahui tentang usaha pihaknya, perjalanan semasa dan melihat gambaran masa depan untuk Capital A.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes pula berkata, ia menandakan era baharu menarik untuk syarikat penerbangan dan semua perniagaan portfolio lain di bawah Kumpulan Capital A ketika memasuki fasa pertumbuhan baharu selepas lebih dua tahun pandemik melanda.
"Dari segi strategi, kami telah mula melihat rancangan kami berikutan penjenamaan semula kumpulan untuk membuahkan hasil dan membawa kami lebih dekat kepada keadaan normal sebelum pandemik.

"Kami telah mencapai keuntungan EBITDA suku tahunan kedua berturut-turut, semuanya disokong empat segmen perniagaan terbesar, iaitu penerbangan, cabang kejuruteraan Asia Digital Engineering (ADE), perniagaan logistik Teleport dan perniagaan digital airasia Super App," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketahui lebih lanjut tentang Capital A dan perniagaan portfolionya dengan melawati laman web di https://www.capitala.com/.
IR Magazine Awards diiktiraf secara global sebagai ukuran prestasi cemerlang yang paling berprestij dan tepat dalam ruang perhubungan pelabur. - DagangNews.com








