Capital A berpotensi jana pendapatan tambahan menerusi perniagaan MRO di Kemboja – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Capital A berpotensi jana pendapatan tambahan menerusi perniagaan MRO di Kemboja – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Sept - Capital A Berhad dapat mewujudkan peluang penjanaan pendapatan tambahan dengan meluaskan tawaran perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kepada syarikat penerbangan lain di Kemboja, menurut MIDF Research.

 

Syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17) itu telah memaklumkan kepada Bursa Malaysia semalam bahawa anak syarikatnya Asia Digital Engineering Sdn Bhd (ADE), telah memeterai perjanjian pemegang saham (SHA) dengan Sivilai Asia Co., Ltd (Sivilai Asia).

 

Perjanjian tersebut melibatkan langganan 60% daripada modal dalam syarikat usaha sama yang baru ditubuhkan, ADE (Cambodia) Co., Ltd, bertujuan untuk menubuhkan perniagaan MRO di Kemboja.

 

MIDF Research berkata strategi Capital A mengendalikan pangkalan MRO sendiri menyediakan syarikat penerbangan itu dengan kawalan yang dipertingkatkan ke atas jadual dan proses penyelenggaraan, menghasilkan penyelenggaraan pesawat yang lebih cekap dan mengurangkan masa henti pesawat.

 

Firma penyelidikan itu berkata ADE dilaporkan mempunyai masa pusing ganti (TAT) perkhidmatan penyelenggaraan pesawat terpendek hanya 29 hari, sejajar dengan salah satu penyedia MRO kumpulan AirAsia yang paling cekap.

 

“Tambahan pula, pangkalan MRO itu berpotensi untuk bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada pesawat Capital A sendiri tetapi juga meluaskan tawarannya kepada syarikat penerbangan lain, mewujudkan peluang penjanaan pendapatan tambahan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Ini juga dapat memanfaatkan lapangan terbang baharu Lapangan Terbang Antarabangsa Techo Takhmao, yang sedang dibina di wilayah Kandal, Kemboja, di mana menurut MIDF Research ia dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2025, menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh sebagai lapangan terbang utama bandar itu.

 

“Kami menjangkakan pemulihan trafik penumpang berterusan memandangkan kumpulan itu meningkatkan kekerapan penerbangan, memulakan semula laluan lama dan memperkenalkan laluan baharu. Dengan penambahan kapasiti tempat duduk, faktor beban dijangka kekal kukuh pada hampir 90%,” tambahnya.

 

Firma itu berkata Capital A berdepan cabaran disebabkan penangguhan sasaran pengaktifan semula semua pesawat dan persekitaran pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat dan ringgit Malaysia (USD/MYR).

 

Manakala pelaksanaan surcaj bahan api yang berterusan seharusnya membantu dalam mengurangkan kesan turun naik harga minyak mentah.

 

MIDF Research berkata tiada perubahan dibuat pada anggaran pendapatannya dan mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) pada 90 sen sesaham.

 

Pada rehat tengah hari, saham Capital A menokok 1 sen atau 1% kepada RM1.01 dengan permodalan pasarannya bernilai RM4.25 bilion.  - DagangNews.com