KUALA LUMPUR 23 Dis - RHB Research menjangkakan perbelanjaan modal (capex) Petronas bagi 2023 sekitar RM45 hingga RM50 bilion, dengan 20% daripadanya tertumpu kepada penyelesaian tenaga bersih.
Petronas sebelum itu memperuntukkan capex yang lebih tinggi pada 2022 sebanyak RM60 bilion memandangkan ia bersedia untuk menyambung semula aktiviti perniagaan yang telah terjejas akibat sekatan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19, dengan sebahagian daripadanya diperuntukkan untuk tenaga bersih atau usaha niaga bukan berkaitan hidrokarbon.
Penganalisisnya, Sean Lim berkata, peruntukan capex bagi tahun ini mungkin lebih rendah daripada sasaran RM60 bilion memandangkan syarikat minyak dan gas (O&G) itu baru membelanjakan sebanyak RM27 bilion bagi tempoh sembilan bulan.
Pada masa sama, menurutnya, laporan prospek aktiviti Petronas bagi 2023-2025 juga menjangkakan aktiviti huluan kekal teguh pada tahun hadapan.
Namun, katanya, laporan itu lebih neutral kerana terdapat gabungan semakan menaik dan pelarasan menurun pada aktiviti subsegmen bagi 2023 hingga 2024.
"Secara keseluruhan, kami melihat kebanyakan subsegmen tidak memenuhi sasaran yang dirancang bagi 2022 kecuali untuk kapal sokongan luar pesisir (OSV) yang menyokong operasi pengeluaran, perkhidmatan di bawah laut dan fabrikasi struktur tetap.
"Kami juga melihat lebih banyak semakan menaik bagi aktiviti untuk 2023 tetapi lebih banyak penurunan kepada sasaran 2024 disebabkan aliran kerja yang tidak siap tahun ini sehingga tahun hadapan, manakala Petronas pula terus berhemah dalam perbelanjaan jangka panjang.
"Malah, terdapat penekanan diberikan kepada peralihan tenaga memandangkan Gentari memainkan peranan yang lebih besar dengan sasaran yang digariskan," katanya dalam nota kajian pada Rabu.
Dalam laporan itu yang dikeluarkan pada Isnin, Petronas kekal positif terhadap prospek aktiviti penggerudian pelantar, perkhidmatan telaga dan bawah laut berikutan keperluan aktiviti baik pulih dan penyelenggaraan untuk mengekalkan integriti kemudahan luar pesisir.
Lim mengekalkan pendirian positifnya terhadap prospek penyelenggaran huluan membabitkan pemain seperti Dayang, Carimin Petroleum dan Petra Energy dengan jangkaan pembinaan dan modifikasi (MCM) dan 'hook-up and commissioning' (HUC) yang lebih tinggi pada 2023 manakala penggerudi tempatan pula seperti Velesto Energy.
Katanya, permintaan jumlah OSV yang lebih tinggi juga akan menyaksikan penggunaan kapal yang lebih baik, memberi manfaat kepada pemain OSV seperti Perdana Petroleum dan Icon Offshore.
"Sebaliknya, apa yang mengejutkan kami ialah pengurangan mendadak dalam unjuran penyahtauliahan telaga yang mungkin tidak memberi petanda baik untuk Uzma.
"Kemungkinan Petronas sedang berusaha untuk memanjangkan hayat telaga bagi memanfaatkan harga minyak semasa yang tinggi, secara tidak langsung memberi manfaat kepada Uzma kerana syarikat itu juga memberi tumpuan kepada memulihkan semula 'brownfield'," jelasnya.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor O&G dengan pilihan utamanya Dayang, Yinson dan Bumi Armada.
Firma itu turut mengekalkan unjuran harga minyak bagi 2023 pada AS$90 setong manakala AS$80 setong bagi 2024 dan 2025. -DagangNews.com








