Calonkan guru anda untuk Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s sebelum 2 April 2022 | DagangNews Skip to main content

Calonkan guru anda untuk Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s sebelum 2 April 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - McDonald’s Malaysia akan menganjurkan Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s buat kali ke-6 bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru yang menjalankan tanggungjawab melebihi tugas-tugas hakiki dalam mendidik, membentuk dan memberi inspirasi kepada anak bangsa. 

 

Rakyat Malaysia boleh mencalonkan guru yang telah memberi inspirasi kepada diri mereka mulai 10 Mac hingga 2 April 2022 dengan berkongsi kisah ‘Cikgu Luar Biasa’ mereka sama ada dalam bahasa Melayu, Inggeris atau Cina.

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, penganjuran setiap tahun itu sebagai sebahagian daripada komitmen bagi menyumbang kepada masyarakat di sekitar lokasi operasinya. 

 

Beliau berkata, melalui AGI McDonald’s, syarikat terus mengiktiraf golongan pendidik yang sentiasa komited dan berdedikasi demi mendidik pemimpin masa hadapan negara.

 

“Kami melihat banyak perubahan dalam sistem pendidikan sejak dua tahun lalu. Guru perlu melalui peralihan daripada pengajaran di dalam kelas kepada kelas secara dalam talian, termasuklah versi lain yang melibatkan pengajaran secara hibrid. 

 

"Oleh demikian, pengiktirafan terhadap jasa guru menjadi semakin penting dan Anugerah Guru Inspirasi yang dianjurkan pada tahun 2022 ini berhasrat untuk terus meraikan guru atas usaha mereka memastikan pendidikan golongan pelajar di seluruh negara kekal terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Anugerah ini akan memilih seramai 25 guru sebagai pemenang, di mana mereka akan menerima wang tunai RM5,000, manakala pencalon yang mencalonkan guru yang menang akan menerima baucar hadiah McDonald’s bernilai RM200 sebagai tanda penghargaan.

 

 

mcd

 

 

Pelajar, guru dan orang awam boleh mencalonkan guru luar biasa dan berkongsi kisah mereka dengan McDonald’s melalui tiga langkah mudah:

 

Langkah 1 – Log masuk ke http://www.mcdonalds.com.my/anugerahguruinspirasi 

 

Langkah 2 – Hantar borang pencalonan dan tulis bagaimana guru anda telah memberi inspirasi kepada diri anda (dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau Bahasa Mandarin) 

 

Langkah 3 – Hantar gambar guru anda sebagai dokumen sokongan (tidak wajib)

 

Guru yang terpilih menerima anugerah ini dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada wakil-wakil McDonald’s, Kementerian Pendidikan dan media. 

 

Kriteria pemilihan dalam mengenal pasti guru yang layak termasuklah kemampuannya meningkatkan prestasi akademik pelajar, menggunakan kaedah pengajaran berinovasi dan di luar kotak, melaksanakan tanggungjawab melebihi tugas hakiki untuk membantu pelajar dan memberi impak positif kepada diri pelajar.

 

AGI McDonald’s pertama kali diperkenalkan pada tahun 2017 dan sehingga kini telah menerima lebih 19,000 pencalonan dengan lebih 106 guru telah menerima anugerah ini di seluruh negara. 

 

Inisiatif tahunan ini merupakan platform untuk menghargai guru luar biasa yang menjalankan tanggungjawab melebihi tugas-tugas hakiki dalam membimbing pelajar, pada masa sama membolehkan pelajar meneroka cara pembelajaran yang bersesuaian dengan diri mereka, sekaligus menawarkan persekitaran akademik yang kondusif demi kecemerlangan pelajar. - DagangNews.com