KUALA LUMPUR 2 Okt - Bursa Malaysia Bhd bersedia untuk menentang penipuan kewangan dan pelaburan pada 4 Oktober ini sebagai sebahagian daripada usaha pendidikan pelabur yang berterusan, bersempena dengan 'Minggu Pelabur Sedunia (WIW)'.
Minggu Pelabur Sedunia yang akan berlangsung dari 2 hingga 8 Oktober ini, ialah kempen global diterajui oleh Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) untuk menggalakkan pendidikan dan perlindungan pelabur.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia berkata, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pihaknya berbesar hati menyokong kempen global yang menyokong pendidikan dan kesedaran pelabur sebagai satu cara untuk meningkatkan keyakinan pelabur dalam pasaran.
"Sama seperti negara lain, Malaysia juga telah menyaksikan peningkatan dalam penipuan kewangan, menimbulkan risiko besar kepada orang ramai.
"Oleh itu, adalah penting pelabur dilengkapi dengan pendidikan kewangan asas yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan termaklum dan melindungi diri mereka daripada skim penipuan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Tahun ini menandakan tahun keempat berturut-turut IOSCO dan Persekutuan Pertukaran Dunia (WFE) bekerjasama dalam kempen 'Ring the Bell for Financial Literacy'.
Bengkel tersebut akan menangani kebimbangan mendesak mengenai penipuan kewangan dan pelaburan.
Pakar akan membincangkan cabaran semasa termasuk selok-belok jenayah siber, peningkatan ancaman yang ditimbulkan penipuan media sosial, kerumitan berkaitan dengan penipuan perbankan, serta penggunaan teknologi dalam mencipta penipuan yang canggih.
Penceramah termasuk wakil dari Pusat Jenayah Anti-Kewangan Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Persatuan Bank-Bank Malaysia, dan Ensign InfoSecurity.
Kesedaran mengenai penipuan kewangan dan pelaburan adalah komponen penting program celik kewangan 2 Sens-Ability Bursa Malaysia.
Program pendidikan pelabur memberi tumpuan kepada pengurusan wang peribadi, belanjawan, simpanan, kejimatan pelaburan dan penipuan kewangan, untuk membantu individu dan komuniti meningkatkan kesejahteraan kewangan mereka.
Setakat 25 September 2023, program ini telah menganjurkan 109 sesi, memanfaatkan sejumlah 16,174 individu sejak ia dilancarkan pada Januari 2021.
Bengkel ini akan diadakan pada 4 Oktober ini, dari 8 pagi hingga 12.15 tengah hari, di Bursa Malaysia. Orang ramai dijemput hadir dan mendaftar bengkel percuma melalui pautan https://forms.office.com/r/cJ2DjnupJX. - DagangNews.com








