Bursa Malaysia Securities buat teguran terbuka terhadap Pasdec | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia Securities buat teguran terbuka terhadap Pasdec

Bursa Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia Securities) membuat teguran terbuka kepada syarikat pemaju hartanah, Pasdec Holdings Berhad (Pasdec) serta bekas Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Sri Tew Kim Thin kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (Main LR).

 

Bursa Malaysia Securities dalam satu kenyataan berkata, akibat pelanggaran tersebut, bekas Pengarah Urusan Kumpulannya, Tew didenda RM12,500.

 

"Pasdec ditegur secara terbuka kerana melanggar perenggan 9.23 (1) Main LR yang mana syarikat tersebut gagal mengeluarkan laporan tahunannya yang merangkumi penyata kewangan tahunan yang diaudit (AFS) bersama dengan laporan juruaudit dan pengarah untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 (AR 2018) pada atau sebelum 30 April 2019.

 

"Pasdec hanya mengeluarkan AR 2018 pada 11 Jun 2019.

 

"Pasdec juga diminta untuk mengkaji dan memastikan ketepatan dan keberkesanan fungsi laporan kewangannya," jelas Bursa Malaysia Securities dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, Bursa Malaysia Securities berkata, syarikat berkenaan juga perlu memastikan Tew dan pegawai yang berkenaan untuk hadir ke program latihan berkaitan dengan pematuhan Main LR berhubung dengan penyata kewangan.

 

Tew telah melanggar perenggan 16.13 (b) Main LR kerana membenarkan dengan sengaja atau mempunyai cara yang munasabah untuk mengetahui tindakan pelanggaran Pasdec.

 

"Pelanggaran peraturan dan hukuman ke atas Pasdec dan Datuk Seri Tew dibuat menurut perenggan 16.19 Main LR selepas melalui proses dan pertimbangan fakta.

 

"Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran tersebut kerana penyerahan penyatan kewangan yang tepat pada masanya adalah salah satu tanggungjawab asas syarikat yang tersenarai dan sangat penting dalam memastikan pasaran yang adil dan teratur.

 

"Ia juga perlu bagi membantu keputusan pelaburan yang tepat," jelas Bursa Malaysia Securities lagi. - DagangNews.com