Bursa Derivatives selesai penghantaran pertama kontrak niaga hadapan minyat sawit mentah di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Bursa Derivatives selesai penghantaran pertama kontrak niaga hadapan minyat sawit mentah di Sarawak

Bursa Malaysia Derivatives Bhd telah menyelesaikan penghantaran fizikal pertama kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah Malaysia Timur (FEPO) di Sarawak pada 10 Jun 2022.

KUALA LUMPUR 14 Jun - Bursa Malaysia Derivatives Bhd telah menyelesaikan penghantaran fizikal pertama kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah Malaysia Timur (FEPO) di Sarawak pada 10 Jun lalu.

 

Penghantaran itu menyaksikan sejumlah 10 kontrak, mewakili 250 tan minyak sawit mentah (MSM) diurus niaga di satu daripada pemasangan tangki pelabuhan (PTI) yang diluluskan di Bintulu, Sarawak.

 

PTI dikendalikan oleh Biport Bulkers Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bintulu Port Holdings.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Derivatives, Samuel Ho berkata, FEPO bertujuan membantu pemain fizikal dan peserta dalam pasaran minyak sawit Malaysia Timur untuk menguruskan risiko harga, terutamanya dalam persekitaran yang sangat tidak menentu.

 

"Saya gembira melihat penghantaran fizikal pertama yang berjaya di Sarawak, yang menunjukkan pengiktirafan industri terhadap FEPO sebagai platform untuk penemuan harga alternatif di Malaysia Timur," kata Ho.

 

Pasaran Niaga Hadapan MSM telah menyaksikan peningkatan penyertaan berikutan turun naik harga minyak sawit baru-baru ini.

 

Pada 6 Mei, kontrak FEPO mencapai volum dagangan harian baharu yang tinggi sebanyak 186 kontrak, bersamaan dengan 4,650 tan metrik MSM.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Bintulu Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata penghantaran fizikal pertama menandakan kejayaan baharu bagi Biport Bulkers Sdn Bhd.


 

Biport Bulkers

 


Medan berkata sebagai terminal minyak sawit terbesar di Sarawak, Biport Bulkers mengendalikan lebih 91% daripada jumlah eksport minyak sawit di Sarawak dan 24% daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia.

 

“Peluasan perkhidmatan dan kemudahan yang kami tawarkan kepada semua peniaga minyak sawit di Malaysia Timur akan menyumbang kepada pertumbuhan bahagian pasaran Sarawak dan Sabah sebagai negeri pengeluar dan pengeksport minyak sawit utama di Malaysia,” katanya.

 

Bursa Malaysia Derivatives ialah bursa pertama di dunia yang menawarkan kontrak derivatif komoditi yang dihantar secara fizikal dengan keperluan mampan yang dimandatkan untuk penghantaran.


 

Biport Bulkers

 


Semua penghantaran fizikal yang dibuat di bawah kontrak hadapan minyak sawit mentah dan kontrak FEPO mestilah diperoleh daripada kilang minyak sawit yang memenuhi Persijilan Pengurusan Kelapa Sawit di bawah keperluan skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia.

 

Komitmen ini adalah selaras dengan usaha bursa untuk memupuk pembangunan mampan melalui penawaran produknya dan merentasi keseluruhan rantaian nilai. - DagangNews.com