Boustead mula strategi baharu dalam tempoh tiga tahun selepas diambil alih LTAT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Boustead mula strategi baharu dalam tempoh tiga tahun selepas diambil alih LTAT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jun - Boustead Holdings Berhad akan memulakan strategi baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang berikutan pengambilalihan kumpulan itu oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

 

Boustead sedang dalam proses mengemukakan permohonan kepada Bursa Malaysia untuk penarikan balik status penyenaraiannya di Pasaran Utama.

 

Pengerusi Boustead, Datuk Ahmad Nazim Abd. Rahman berkata, penyahsenaraian syarikat itu menandakan permulaan baharu dalam kumpulan itu.

 

"Penetapan semula Boustead akan dilakukan dengan cara yang objektif, bertanggungjawab dan mampan dalam membuka kunci nilai.

 

“Di bawah struktur pegangan saham baharu, kumpulan Boustead akan memulakan strategi baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk mempergiatkan lagi transformasi.

 

"Selaras dengan perenggan 16.07 keperluan penyenaraian, Boustead akan mengambil langkah yang perlu untuk mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities bagi pengeluaran status penyenaraiannya daripada senarai rasmi Bursa Securities," katanya pada mesyuarat agung tahunan (AGM) maya syarikat hari ini

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead, Izaddeen Daud berkata, selain daripada penyahsenaraian, syarikat itu mempunyai keyakinan terhadap daya tahan perniagaan terasnya yang pelbagai.

 

Beliau berkata, ia akan terus memperkemas fokus syarikat terhadap program peningkatan prestasi dan melaksanakan strategi pengurusan kos berhemat untuk meningkatkan kecekapan operasi dan memacu margin keuntungan.

 

"Selain itu, kami sedang aktif meneroka aliran hasil baharu dan memperkemas aset bukan strategik untuk memacu pertumbuhan jangka panjang kami," katanya.

 

AGM itu menyaksikan pemilihan semula Leftenan Jeneral Datuk Fadzil Mokhtar dan Muhammad Fitri Othman sebagai ahli lembaga pengarah.

 

Semua resolusi lain juga telah diluluskan. - DagangNews.com