Boustead Heavy Industries terima dua kontrak kapal selam TLDM bernilai RM140 juta | DagangNews Skip to main content

Boustead Heavy Industries terima dua kontrak kapal selam TLDM bernilai RM140 juta

 

KUALA LUMPUR 18 Mei - Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) telah memperoleh dua kontrak kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan nilai gabungan RM140.06 juta daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF).

 

Menurut makluman di Bursa Malaysia hari ini, anak syarikatnya, BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES) telah dianugerahkan kontrak bernilai RM99.8 juta untuk sokongan perkhidmatan interim bagi kapal selam Kelas Perdana Menteri TLDM.

 

Tempoh kontrak tersebut adalah 11 bulan bermula 15 Mac tahun ini sehingga 14 Februari 2024.

 

Sementara itu, satu lagi makluman mendedahkan bahawa BSES telah menerima lanjutan kontrak penyelenggaraan kemudahan kapal selam TLDM bernilai RM40.26 juta.

 

Kontrak itu adalah untuk tempoh 12 bulan bermula 1 Januari sehingga akhir Disember tahun ini.

 

Pada April 2021, kumpulan itu memperoleh kontrak penyelenggaraan kemudahan kapal selam bernilai RM78.14 juta untuk tempoh dua tahun, dari 1 Jan 2021 hingga 31 Dis 2022.

 

Menurut BHIC, kontrak rasmi terkini antara kerajaan dan BSES akan dilaksanakan kemudian.

 

“Kedua-dua kontrak akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023,” katanya.

 

BHIC telah mencatat kerugian bersih RM21.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding keuntungan bersih RM15.2 juta setahun sebelumnya akibat elaun yang lebih tinggi untuk jangkaan kerugian kredit, kos kewangan dan perbelanjaan operasi .

 

Setakat 3:10 petang hari ini, saham BHIC menokok 2 sen atau 6.3% kepada 34 sen, memberikannya modal pasaran sebanyak RM84.5 juta. -DagangNews.com