Boustead Heavy Industries raih lanjutan kontrak RM115.3 juta bagi menyelenggara helikopter TUDM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Boustead Heavy Industries raih lanjutan kontrak RM115.3 juta bagi menyelenggara helikopter TUDM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai - Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) telah menerima lanjutan kontrak bernilai RM115.3 juta bagi penyediaan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti Helikopter EC725 untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata anak syarikatnya, BHIC AeroServices Sdn Bhd telah menerima surat anugerah (LOA) tambahan bertarikh 4 Julai 2023 daripada Kementerian Pertahanan Malaysia, melalui sokongan dalam perkhidmatan (kontrak ISS).

 

BHIC berkata lanjutan tempoh kontrak itu adalah dari 1 April 2023 sehingga 31 Mac 2024. Jumlah nilai kontrak siling baharu adalah RM706.5 juta.

 

BHIC AeroServices adalah usaha sama antara BHIC Defence Technologies Sdn Bhd (51%), anak syarikat milik penuh BHIC, Prestige Pillar Sdn Bhd (30%) dan Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd (19%).

 

“Selain daripada semakan nilai kontrak, tiada perbezaan ketara antara kandungan kontrak dan LOA tambahan.

 

 “LOA tambahan tidak akan memberi kesan kepada pendapatan kumpulan BHIC untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

“Tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat, atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam LOA tambah,” katanya.

 

Kali pertama BHIC menerima kontrak ini adalah pada 21 Mac 2014 dan telah menerima LOA tambahan tiga kali, termasuk yang baharu ini.

 

Saham BHIC ditutup pada 43 sen hari ini, menokok 6 sen atau 16.2% dengan modal pasarannya bernilai RM106.8 juta. - DagangNews.com