Boost, Says, Exabytes dikenalpasti antara 10 syarikat unicorn Malaysia dalam laporan HSBC-KPMG | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Boost, Says, Exabytes dikenalpasti antara 10 syarikat unicorn Malaysia dalam laporan HSBC-KPMG

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Julai - Laporan Kemunculan Syarikat Gergasi di Asia Pasifik yang diterbitkan HSBC dan KPMG mengenalpasti 10 syarikat 'unicorn' yang berpotensi di Malaysia dan mampu memberi impak kepada landskap perniagaan global pada dekad akan datang.

 

Syarikat tersebut ialah Boost Holdings, Exabytes, Jirnexu, Presto Mall, Mindvalley, Neurogine, Eatcosys, Says, Lapasar dan PolicyStreet.

 

 

unicorn
Sumber : Laporan HSBC-KPMG

 

 

Ketua Perbankan Komersial HSBC Malaysia, Karel Doshi berkata, senarai itu membuktikan negara mempunyai semua ramuan yang sesuai untuk syarikat baharu berkembang maju dan menjadi pemimpin yang membentuk industri.

 

"Sebagai bank perdagangan terkemuka dunia, kami sentiasa mencari cara untuk membantu pelanggan kami berinovasi, membangunkan penyelesaian masa depan dan menambah nilai.

 

"Institusi kewangan harus komited untuk menawarkan sokongan yang tepat kepada syarikat pemula (start-up) supaya mereka boleh melangkaui Malaysia untuk menjadi Gergasi Baharu Muncul atau unicorn," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Karel Doshi
Karel Doshi

 

 

Laporan tersebut meninjau dengan lebih mendalam terhadap 6,472 syarikat pemula yang berteraskan teknologi di 12 pasaran Asia Pasifik dengan penilaian sehingga AS$500 juta.

 

Ia mengenal pasti 100 syarikat gergasi baharu muncul terkemuka di Asia Pasifik yang pantas berkembang, berpengaruh dan inovatif dengan aspirasi untuk mencapai status unicorn dan 10 syarikat gergasi baharu muncul dalam setiap pasaran yang ditinjau.

 

Berdasarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, pembiayaan mencapai tahap yang ketara dengan jumlah dana modal teroka (VC) komited mencecah AS$1.2 bilion pada 2021, meningkat 20% pada 2020, dan hampir 5 kali ganda lebih banyak daripada syarikat permulaan Malaysia yang diperoleh pada 2019.

 

Terdapat juga peningkatan dalam urus niaga modal teroka di rantau ini, dengan jumlah yang lebih tinggi direkodkan pada 2021.

 

Walaupun tahun ini kelihatan tidak akan mengulangi paras tertinggi pada 2021, angka pada suku pertama mencadangkan bahawa 2022 berada pada sasaran untuk melebihi tahap pembiayaan pada 2020 dan 2019 untuk Asia Pasifik secara keseluruhan.

 

Ini konsisten dengan pelaburan dalam syarikat pemula Malaysia. Sebanyak AS$319 juta telah dilaburkan pada suku pertama 2022 berbanding AS$121 juta pada 2019, AS$101 juta pada 2020 (berjumlah AS$222 juta) dan AS$532 juta pada 2021.

 

 

Guy Edwards
Guy Edwards

 

 

Sementara itu, Ketua Teknologi, Media dan Telekomunikasi KPMG Malaysia, Guy Edwards berkata, Malaysia telah membangunkan pemahaman yang baik tentang teknologi dan cara inovasi berfungsi, seperti yang dibuktikan oleh syarikat tempatan yang tersenarai dalam 10 teratas syarikt gergasi baharu muncul di Malaysia.

 

"Walaupun syarikat pemula bersedia untuk terus memainkan peranan utama dalam pembangunan negara, sesetengah mungkin bergelut untuk mendapatkan bimbingan dan sokongan perniagaan yang diperlukan untuk berkembang.

 

"Menjangkaui sokongan kerajaan, memupuk ekosistem yang betul untuk syarikat pemula tempatan kami memerlukan penggunaan pandangan serantau, dan menggalakkan kerjasama kukuh oleh pihak berkepentingan," tambahnya. - DagangNews.com